Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC (SFC), Dr Johan Kamal Hamidon mengesahkan pihaknya akan membuat rayuan rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung hukuman penggantungan sebulan yang dikenakan ke atas Faisal Halim.

Ketiadaan tonggak utama itu memberi tamparan hebat kepada Selangor yang ketika ini dalam usaha mengekalkan momentum kemenangan bagi mengukuhkan kedudukan di tangga kedua Liga Super 2023.

“Ya, Insya-Allah, kami akan membuat rayuan untuk keputusan terbabit,” kata Dr Johan Kamal dipetik dalam laporan Berita Harian.

Jawatankuasa Tatatertib FAM mendapati Faisal melanggar Artikel 61 Kod Tatatertib FAM (Kenyataan Akhbar) dan Artikel 82 Statut FAM (Sumbangan Kepada Media) menerusi kenyataan yang dikeluarkannya ketika sesi temu ramah media selepas perlawanan Liga Super 2023 menentang Sabah FC di Stadium Likas pada 27 April 2023.

Beliau dipercayai bercakap mengenai mutu pengadilan yang didakwa berat sebelah dalam aksi Liga Super di Stadium Likas itu.

“Saya tak boleh cakap secara terus, saya hanya pemain biasa. Saya tak ada duit nak bayar denda dan saya tak nak kena gantung. Saya jujur dan ikhlas dengan kerja saya, begitu juga saya nak pihak lain yang terbabit ikhlas menjalankan tanggungjawab.

“Kami ingin perlawanan yang adil, kalau perlawanan adil kami kalah 5-0, 10-0 tak apa kami terima. Tapi dengan cara begini kami kecewa dan tak boleh terima dengan hati yang terbuka.

“Kami tahu ramai yang ingin menjatuhkan pasukan Selangor, ramai yang tak senang hati dengan pasukan Selangor. Tetapi ini bola sepak, kami perlu perlawanan yang adil dan jujur,” katanya selepas tamat perlawanan.

Faisal dikenakan penggantungan selama sebulan (25 Julai hingga 23 Ogos 2023) yang mana penggantungan tiga bulan seterusnya ditangguh terlebih dahulu tertakluk kepada kelakukan baik selama 12 bulan bermula tarikh 24 Ogos 2023.

Bagaimanapun, FAM tetap memberi peluang kepada Faisal untuk membuat rayuan rasmi bagi mengurangkan hukuman tersebut.

Satu lagi kes iaitu membabitkan pengadil perlawanan ketika aksi Piala FA 2023 menentang Johor Darul Ta’zim di Stadium Sultan Ibrahim pada 26 Jun 2023, Faisal dan seorang lagi pemain Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee hanya diberikan amaran keras.