Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuar Ramalingam menegaskan pihaknya bakal mengambil tindakan terhadap dua pasukan Liga Super Melaka United dan Sarawak United jika mereka gagal melangsaikan tunggakan gaji membabitkan pemain serta barisan jurulatih.
Menurut laporan daripada Bernama, pasukan tersebut diberikan masa sehingga 31 Januari untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji atau bakal berdepan hukuman sekatan perpindahan pemain secara automatik pada 1 Februari 2021.
Selepas tempoh itu, pasukan tersebut akan diberikan 14 hari lagi untuk menyelesaikan tunggakan gaji dan jika gagal, mereka akan dikenakan pemotongan mata liga.
“Sehingga hujung tahun lepas, Sarawak masih berhutang dengan 39 pemain dan pegawai. 15 daripada mereka telah dibayar sepenuhnya. Saya sedang bekerjasama rapat dengan PFAM mengenai perkara ini. Jumlah yang lain perlu dibayar sebelum 31 Januari.
“Jika mereka tidak dibayar atau tidak ada sebarang pelanjutan masa persetujuan, sekatan perpindahan pemain secara automatik akan dikenakan. Sarawak perlu menunjukkan bukti resit pembayaran (tunggakan gaji) atau persetujuan ditandatangani oleh pemain, jika tidak kami akan ambil tindakan,” katanya ketika taklimat secara maya.
Kelmarin, PFAM mendedahkan Melaka United masih mempunyai tunggakan gaji yang melibatkan pemain Skuad Utama adalah sebanyak 3 bulan dan tunggakan bagi Skuad Piala Presiden adalah sebanyak 2 bulan setengah.
Ketika kita disajikan dengan keterujaan menyaksikan musim baharu Liga Malaysia, tidak dinafikan terdapat beberapa masalah yang berulang setiap musim sekaligus menyukarkan liga untuk melangkah ke tahap yang lebih baik.
Masalah tunggakan gaji ini akan memberikan imej buruk kepada Liga Malaysia maka sukar untuk mana-mana penaja mahu terlibat dengan pasukan dan mengurangkan keyakinan syarikat besar untuk menjadi penaja utama.
Baca artikel lain mengenai isu tunggakan gaji dalam Liga Malaysia melalui pautan dibawah.
Pemilik Baharu Sahkan Tunggakan Gaji Perak FC Akan Diselesaikan Dengan Dua Kali Bayaran
Ada Hutang Tertunggak Dengan LHDN, Sarawak United Diberikan Lesen Kebangsaan Bersyarat
Stuart Ramalingam Gesa Pemain Hadapi Isu Gaji Tampil Ke Hadapan
Nafi Ada Potongan Gaji 50%, Selangor Sentiasa Bayar Gaji Penuh ‘On Time’