Baru-baru ini, terdapat cadangan mengenai pemotongan gaji pemain sebanyak 25 peratus bagi menampung kerugian pasukan akibat penangguhan perlawanan Liga Malaysia susulan penularan wabak COVID-19 yang semakin meningkat.
Pengumuman penangguhan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) minggu lalu hingga ke satu tarikh yang belum ditetapkan dikhuatiri akan memberi kesan kepada kantung kewangan pasukan kerana kebanyakannya hanya mengikat kontrak pemain hingga bulan November.
Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathiananthan berkata dalam Berita Harian menyifatkan cadangan pemotongan gaji pemain adalah tidak logik kerana liga hanya ditangguhkan sementara bukan dibatalkan terus.
“Saya rasa ia bukan cadangan yang praktikal kalau gaji perlu dipotong kerana tiada perlawanan. Memang ketika ini tiada perlawanan berlangsung tetapi harus diingat, jumlah perlawanan liga tetap 22 perlawanan.
“Setakat ini pun, tiada pengumuman liga akan dipendekkan atau jumlah perlawanan perlu dikurangkan tetapi kalau itu terjadi, mungkin kita boleh pertimbangkan (pemotongan gaji).
“Mungkin bulan ini tiada perlawanan tetapi selepas liga bersambung nanti, mana tahu ada lebih banyak perlawanan disusun dalam tempoh sebulan dan dari situ, lebih banyak kutipan tiket boleh diperoleh.
“Lagipun, tak masuk akal kalau pasukan hanya bergantung pada kutipan tiket semata-mata kerana berdasarkan program kawalan ekonomi Liga Bolasepak Malaysia (MFL) musim ini, pasukan seharusnya ada dana yang kukuh untuk menguruskan pasukan.
“Apapun, saya harap setiap pasukan dapat menghormati kontrak yang ditandatangani dan melunaskan pembayaran gaji seperti yang dijanjikan,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Football League (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan membayangkan tempoh penangguhan saingan Liga Malaysia mungkin akan berlanjutan sehingga bulan Jun jika kes COVID-19 tidak menunjukkan tanda pengurangan.
Katanya dalam Bernama, penangguhan itu tertakluk kepada saranan dan panduan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berdasarkan keadaan semasa dan tahap ancaman wabak penyakit berjangkit itu.
“Kita sentiasa berhubung dengan KKM untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai COVID-19 untuk membuat keputusan mengenai tempoh penangguhan perjalanan liga dan secara mudahnya, jika kes menunjukkan penurunan ia mungkin isyarat liga boleh dijalankan lebih awal.
“Tetapi melihat kepada perkembangan terkini, jumlah kes itu bertambah dan MFL bersedia sekiranya liga perlu ditangguhkan sehingga April, Mei atau Jun. Kita mempunyai perancangan dan komited untuk habiskan saingan liga musim 2020 ini,” jelasnya.
Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia musim 2020 melalui pautan dibawah.
Penjaga Gol Sabah Ini Terpaksa Tangguhkan Majlis Perkahwinan Kerana Wabak COVID-19