Skuad Gergasi Merah menerima tamparan hebat apabila pemain sayap pasukan itu, Nor Hakim Hassan disahkan mengalami kecederaan serius di bahagian lutut sehingga terpaksa melupakan aksi Liga Malaysia musim ini.
Kecederaan yang dialami oleh Nor Hakim ini dimaklumkan sendiri oleh ketua jurulatih, B. Satiananthan. Namun, masih belum jelas sama ada bekas pemain Perak itu mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) ketika sesi latihan ataupun perlawanan pra musim.
Bagaimanapun, Satiananthan mempunyai calon lain yang boleh menggantikan tempat Nor Hakim walaupun bekas pemain Perak itu baru sahaja menandatangani kontrak selama 2 tahun.
“Tentang kontrak, saya perlu mendapatkan keputusan daripada pihak pengurusan kerana Hakim sudah tercedera dan memerlukan masa yang lama.
“Saya terpaksa mencari seorang pemain yang boleh bermain di posisinya atau posisi lain,” katanya dalam Stadium Astro.
Nor Hakim menjadi pemain kedua yang mengalami kecederaan ACL dalam tempoh dua tahun dimana musim lalu seorang lagi pemain sayap, Wan Zack Haikal tidak dapat beraksi sepanjang musim 2019 setelah cedera ketika beraksi dalam satu perlawanan pra musim.
Perkara ini sekaligus membangkitkan persoalan dalam kalangan peminat serta pemerhati bola sepak tanah air sama ada kecederaan tersebut dialami kerana rejim latihan yang dikendalikan oleh Satia ataupun permukaan padang yang tidak sesuai.
Ketika ini, Selangor telah membawa masuk pemain tempatan baharu di posisi bek kiri, Fitri Omar yang pernah berada di bawah bimbingan Satiananthan ketika bersama Kelantan pada 2009 selain ATM sepanjang tahun 2011 hingga 2014.
“Saya sudah biasa bekerja dengan Fitri Omar. Dia pernah bersama saya dalam dua pasukan sebelum ini.
“Dia pernah mewakili Kedah dalam final, jadi dia mempunyai pengalaman. Sama juga dengan dua calon lain yang saya tidak mahu sebut di sini. Tetapi setiap kata putus adalah daripada pihak pengurusan,” tambahnya.
Baca artikel lain mengenai perkembangan pasukan Selangor di sini:
Liga Malaysia 2020: Asraruddin Putra Omar Kembali Sertai Selangor?
Selain Pusat Latihan Tertutup, Selangor Juga Bakal Memiliki Pusat Perubatan Dan Pejabat Teknikal