Manchester United mungkin merupakan fasa karier yang mahu dilupakan Alexis Sanchez selamanya.

Walaupun beliau memiliki semua wang yang beliau inginkan, Sanchez kelihatan tidak selesa di sana.

Sanchez berpindah ke Man United pada bulan Januari 2018. Man United tidak mengeluarkan wang untuk mendapatkan beliau.

Namun Man United kehilangan pemain yang ketika itu beraksi cemerlang bersama mereka dan diletakkan tanda harga £40 juta pada pasaran perpindahan iaitu Henrikh Mkhitaryan – yang menjadi pemain yang ditukar.

Kontrak Sanchez di Man United sudah seperti apa yang diperolehi Lionel Messi di Barcelona ataupun kontrak gila bintang dari liga Eropah yang berkelana ke Liga Super China.

Di mana Sanchez mendapat gaji £400 ribu seminggu sehingga £560 ribu seminggu jika kesemua klausa bonus berjaya diaktifkan.

Malangnya, karier Alexies Sanchez bersama Man United malap. Beliau dibeli ketika beliau menjadi salah seorang pemain terbaik di EPL dalam beberapa musim.

EhDZH_LWsAERhrZ

Dan beliau hanya bermain semusum setengah sahaja di Man United. Selain daripada masalah kecederaan, beliau juga berdepan dengan banyak isu lain. Hanya 45 perlawanan sahaja untuk Man United membuatkan Sanchez dikeluarkan secara pinjaman.

Man United sanggup membayar separuh daripada gajinya ketika di Inter dan kemudian menebus kontrak Sanchez demi merasai lebih banyak kerugian.

Bagi Sanchez, masanya di Man United adalah detik paling gelap dalam kariernya. Sanchez mengakui bahawa dia tidak selesa di sana sejak hari pertama sesi latihan, malah meminta ejennya untuk menghantarnya kembali ke Arsenal.

“Saya ingin bersikap jujur ​​dengan anda semua mengenai karier saya di United, mengenai banyak perkara yang telah diperkatakan dan membuat saya kelihatan teruk,” kata Sanchez melalui akaun Instagramnya.

“Saya berpeluang untuk pindah ke Man United dan itu jelas menarik perhatian saya. Tentunya terasa sangat tertarik nak ke sana kerana saya menyukai kelab itu sejak saya kecil,” lanjutnya.

“Namun, saya tidak mendapat banyak maklumat mengenai perpindahan saya pada masa itu. Pada hari pertama saya berlatih dengan rakan sepasukan, anda baru sedar ketika anda sendiri berada di sana.”

“Saya menyedari banyak perkara [tak kena] dalam sesi latihan pertama itu. Ketika saya pulang ke rumah, saya berkata kepada ejen: ‘Bolehkah kita koyakkan kertas kontrak [tamatkan] dan saya kembali ke Arsenal ?,” jelasnya.

“Mereka mulai ketawa, dan saya menyatakan ada perkara yang tidak betul ketika ini berada bersama saya.”

Kenyataan Sanchez ini seolah olah membuatkan beliau kini menjadi musuh peminat Man United yang telah banyak menyokong kariernya selama ini.

Ray Parlour antara yang tampil membidas Alexis Sanchez. Di mana menurut Parlour, Sanchez terlalu tamak, dan apa relevannya dia nak tamatkan kontrak hanya selepas satu sesi latihan?