Bekas penyerang skuad kebangsaan, Safee Sali berkongsi salah satu jasa bekas ketua jurulatih pasukan negara, mendiang B.Satianathan yang masih segar dalam ingatan beliau.

Satia meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) semalam dan pemergian beliau nyata memberi tamparan hebat kepada saingan bola sepak tanah air.

Safee Sali menegaskan mendiang B.Satianathan merupakan seorang ketua jurulatih yang pemuran, baik dari segi ilmu dan juga kewangan.

“Mendiang memang seorang yang baik hati walaupun kelihatan tegas menerusi televisyen. Beliau sebenarnya sangat pemurah. Sekiranya pemain tidak mendapat bayaran gaji, beliau akan mengeluarkan duit sendiri untuk membantu pemain yang mengalami masalah kewangan.

“Satu kehilangan amat dirasai oleh kami yang terlibat dalam industri bola sepak. Beliau memang seorang yang murah hati dalam memberi sebarang ilmu mengenai bola sepak dan bertanggungjawab,” katanya menurut laporan Majoriti.

Sebelum ini, Satia pernah dilaporkan tidak sihat dan mengalami masalah sakit jantung. Sejak itu beliau tidak lagi mengendalikan mana-mana pasukan Liga Malaysia selepas letak jawatan sebagai pengendali Sarawak United.

Mendiang juga sempat membuat kemunculan sebagai penganalisis dalam siaran langsung perlawanan Liga Super di saluran Astro Arena.

Satia merupakan salah satu jurulatih yang pernah membimbing skuad kebangsaan dan juga beberapa kelab yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia.

Satia dilantik sebagai pengendali skuad Harimau Malaya 2007-2009 selain sebelum itu turut melatih skuad B-23 tahun negara dengan berjaya menghadiahkan kejuaraan antarabangsa apabila menjuarai Pestabola Merdeka pada 2007.

Dalam saingan Liga Malaysia, bekas pemain Negeri Sembilan dan Melaka itu turut cemerlang sebagai jurulatih apabila membawa beberapa pasukan termasuk Kelantan dengan menjuarai Piala Malaysia pada 2010, Angkatan Tentera Malaysia (juara Liga Perdana 2012), Felda United (juara Liga Perdana 2018).

Selain itu, beliau turut dinobatkan jurulatih terbaik sebanyak tiga kali (2010, 2012, 2017) dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan.