Penyerang berpengalaman Kuala Lumpur City, Safee Sali mengharapkan dia mampu menjulang trofi TM Piala Malaysia buat pertama kali dalam kariernya setelah masih kempunan melakukannya dalam tempoh 20 tahun bergelar pemain.
Sudah menginjak usia 37 tahun, penyerang berkenaan mengakui ini detik terbaik untuk merasai nikmat tersebut bagi melengkapkan koleksi kejuaraan utama domestik yang pernah dimilikinya di Liga Malaysia.
Setakat ini Safee sudah merasai kejayaan memenangi Liga Super, Piala FA dan Piala Sultan Haji Ahmad Shah ketika bersama Selangor (2009-2010) dan Johor Darul Ta’zim (2014-2016).
“Secara jujur, saya mengharapkan ada rezeki buat kali ini bersama KL City kerana belum ada rezeki saya memenangi Piala Malaysia dengan tiap pasukan yang saya sertai.
“Saya sudah merasai kejayaan memenangi trofi utama sepanjang bermain di Liga Malaysia tetapi jika berjaya memenangi Piala Malaysia, maka lengkaplah koleksi kejuaraan buat saya sepanjang bergelar pemain.
“Bersama KL City, saya akan berusaha sedaya membantu pasukan mara sejauh mungkin dan berdasarkan prestasi hebat kami di laman sendiri yang belum tewas, saya rasa kami mampu melakar sesuatu.
“Segalanya tampak menjadi kebelakangan ini dengan segala kerja keras rakan sepasukan yang dipamerkan semasa latihan, mula membuahkan hasil dan harap rentak positif mampu diteruskan sepanjang saingan TM Piala Malaysia,” kata Safee Sali.
Kuala Lumpur City buat masa ini menduduki tangga kedua Kumpulan A selepas meraih empat mata hasil kemenangan 3-1 berdepan Sri Pahang FC selain mengikat Penang FC, 1-1 di Stadium Bandaraya.
Dalam masa sama, meluahkan rasa terujanya apabila berjaya meraih semula kepercayaan ketua jurulatih Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak setelah sekian lama diletakkan di bangku simpanan.
Bukan sahaja diturunkan dalam empat perlawanan terakhir bersama Kuala Lumpur City pada perlawanan Liga Super dan TM Piala Malaysia 2021 malah penyerang berusia 37 tahun ini turut diberi peranan selaku ketua pasukan.
“Ketiadaan penyerang import (Kyrian Nwabueze) selain ketiadaan Paulo Josue pada waktu itu yang cedera, mungkin membuka ruang buat saya untuk diturunkan malah saya berpuas hati dapat sumbangkan satu gol semasa bertemu Kedah.
“Apabila diturunkan buat pertama kali, tidak dinafikan ada perasaan kekok kerana sekian lama tidak bermain tetapi saya rasa bersyukur sudah boleh menyesuaikan diri.
“Saya harap jurulatih, Bojan akan terus berikan peluang buat saya untuk beraksi sepanjang saingan TM Piala Malaysia walaupun ada kalanya beliau mungkin ada perancangan tersendiri dalam soal susunan pemain pada tiap perlawanan,” kata bekas pemain kebangsaan itu.
Safee, penjaring terbanyak Piala AFF 2010 diturunkan sembilan kali sebagai pemain gantian pada 20 perlawanan Liga Super sebelum menjadi pilihan Bojan mengisi posisi penyerang utama pada dua perlawanan terakhir.
Bojan pernah merancang untuk menurunkan Safee pada perlawanan dengan Sabah pada 4 Ogos lalu tetapi dia disahkan mengalami demam denggi dan terpaksa berehat panjang.
Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia di sini:
Amirul Azhan: Perak Perlu Perbaiki Ketajaman Jentera Serangan
Natxo Insa Tandatangani Kontrak Lanjutan Bersama Johor Darul Ta’zim