Skuad negara mendapat pengajaran berguna pada aksi kedua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 apabila tunduk 1-5 bertemu Uzbekistan di Stadium Antarabangsa Amman, Jordan, sebentar tadi.
Ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe membuat lima perubahan dengan meletakkan Khairul Fahmi Che Mat, Muhammad Arif Fadzilah Abu Bakar, Kenny Pallraj, Hakimi Abdullah dan Luqman Hakim Shamsudin di kesebelasan utama.
Bagaimanapun, berdepan dengan pasukan yang berada di ranking ke-84 dunia serta dibarisi pemain-pemain berkualiti tinggi, ia jelas memberikan kesukaran buat pemain negara.
Ia jelas terbukti apabila Uzbekistan yang dibimbing Srecko Katanec dilihat lebih selesa mengawal bola dan mempamerkan corak permainan tersusun sepanjang perlawanan.
Bek kiri Uzbekistan, Farrukh Sayfiev dan Jaloddin Masharipov nyata menjadi duri dalam daging buat skuad negara meskipun kedua-dua pemain tersebut tidak menjaringkan gol.
Namun, sumbangan hebat yang ditampilkan oleh Sayfiev dan Masharipov jelas memudahkan rakan sepasukan mereka untuk melakukan jaringan.
Jaringan pembukaan Uzbekistan terhasil pada minit ke-17 apabila hantaran lintang dari Sayfiev dalam kawasan penalti disudahkan dengan baik pemain penyerang, Dostonbek Khamdamov bagi memberikan kelebihan buat pasukannya.
Masharipov sekali lagi menjadi igauan ngeri buat pertahanan negara selepas beliau dengan tenang memperdayakan Kenny Pallraj dan kemudiannya melakukan hantaran lambung mencari Khamdamov.
Penyerang berusia 25 tahun itu yang tidak dikawal pertahanan skuad negara tidak mensia-siakan peluang untuk melakukan tandukan bagi menewaskan Khairul Fahmi pada minit ke-29 untuk jaringan kedua peribadinya.
Uzbekistan yang terus bernafsu untuk menambah jaringan berjaya memperoleh jaringan ketiga berselang empat minit kemudian selepas hantaran lintang Sayfiev ditanduk masuk Husain Norchaev ketika Aidil Zafuan Abd Radzak dan Irfan Zakaria hanya terpaku melihat hantaran menarik tersebut.
Kemasukan Syafiq Ahmad selepas itu kelihatan sedikit merubah corak permainan skuad negara dan hasilknya skuad negara berjaya merapatkan defisit jaringan menerusi Baddrol Bakhtiar pada masa kecederaan babak pertama.
Berpunca daripada rembatan Faisal Halim yang terkena tiang gol dan gagal dikeluarkan pertahanan Uzbekistan dari kawasan berbahaya, Baddrol melepaskan rembatan kaki kiri bagi membolosi penjaga gol, Akmal Rakhimov.
Memasuki babak kedua, Uzbekistan nyata masih belum berpuas hati dengan kelebihan dua jaringan tersebut dan berusaha keras untuk menambah gol.
Keadaan itu merintis kepada terhasilnya jaringan keempat pada minit ke-68 apabila Ibrokhimkhalil Yuldashev yang menerima lorongan baik daripada Masharipov di sebelah kanan pintu gol Malaysia melakukan rembatan untuk menewaskan Khairul Fahmi.
Azizbek Amanov mengesahkan kemenangan 5-1 buat Uzbekistan hanya sebaik sahaja beliau dimasukkan pada lewat permainan.
Dengan keputusan tersebut, Malaysia menamatkan dua aksi persahabatan di Jordan dengan dua kekalahan dimana sebelum ini mereka tunduk 0-4 ditangan pasukan tuan rumah.