Walaupun sudah berusia 35 tahun, penyerang Petaling Jaya City (PJ City), Safee Sali mengakui masih berminat untuk menyarung jersi skuad Harimau Malaya kerana beliau tidak pernah mengumumkan persaraan di pentas antarabangsa.
Katanya dalam Berita Harian, ucapan ‘selamat tinggal’ kepada skuad kebangsaan tiada dalam kamus hidupnya dan beliau bersedia memberikan aksi terbaik sekirannya khidmatnya masih diperlukan.
“Saya tidak pernah katakan yang saya bersara di pentas antarabangsa. Saya masih ada harapan untuk bermain bersama skuad kebangsaan.
“Memang saya rindu untuk sarung jersi kebangsaan. Tidak kiralah umur saya 40 tahun sekali pun, saya belum ucapkan selamat tinggal dan saya tidak akan mengalah, tidak berputus asa dan sedia bermain,” katanya
Safee juga gembira dengan prestasi skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe ketika menentang UAE dalam saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023. Syafiq Ahmad menjaringan gol seawal 33 saat namun UAE bangkit menjaringkan dua gol lalu musnahkan impian skuad negara untuk mengutip tiga mata penuh.
Bagaimanapun, Safee Sali masih lagi ‘pegang’ rekod gol terpantas untuk Malaysia apabila menjaringkan gol pembukaan ketika Malaysia menewaskan Singapura dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2014.
Hanya 15 saat diperlukan oleh Safee Sali untuk memecah kebuntuan dalam perlawanan tersebut selepas percubaan pertamanya hasil hantaran lintang Asrarudin Omar dari sebelah kiri diselamatkan oleh penjaga gol Singapura ketika itu, Izwan Mahbud.
“Memang teruja melihat persembahan mereka ketika memaksa UAE mandi peluh dan kita pasti merasa bangga untuk memiliki pasukan kebangsaan yang kuat seperti ini. Kita tidak takut dan berani pegang bola walau siapa pun lawan kita.
“Ini mungkin nafas baharu bola sepak kita, seiring trend bola sepak sekarang. Jadi, itu yang semua orang mahu lihat. Kalau pasukan ini dijaga dengan baik, saya rasa masa depan kita cerah,” katanya yang pernah beraksi dalam saingan Liga Indonesia.
Jika anda mahu melihat video jaringan terpantas Safee Sali ketika menentang Singapura, klik pautan dibawah.
Gol Safee Sali Kekal Sebagai Gol Terpantas Skuad Kebangsaan Malaysia