Pemain sayap pasukan negara, Safawi Rasid mengucapkan selamat tinggal kepada Ratchaburi dimana tempoh pinjaman beliau bakal berakhir pada Jun ini.

Baca Juga:

Safawi memuat naik gambar di laman Instagram Story beliau yang mana pemain itu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak di dalam kelab sepanjang beliau beraksi di Ratchaburi.

“Perjalanan bersama kamu semua adalah hebat. Terima kasih Ratchaburi,” kata Safawi Rasid.

Safawi Rasid Ratchaburi
Safawi Rasid

Bersama Ratchaburi, pemain berusia 26 tahun itu beraksi sebanyak 16 perlawanan dan menjaringkan satu gol.

Safawi dijangka bakal kembali ke saingan Liga Malaysia dan ada dua kelab dari Pantai Timur yang berminat untuk mendapatkan khidmat pemain itu.

Terengganu menerusi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab, Ab Rasid Jusoh mengesahkan pihaknya sedang berusaha untuk membawa pulang Safawi ke saingan Liga Malaysia.

Bagaimanapun, Ab Rasid Jusoh berkata ia bergantung pada persetujuan daripada pihak Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk mendapatkannya secara pinjaman bagi menghadapi baki saingan liga musim ini.

“Sejujurnya kita begitu berminat untuk menggunakan khidmat pemain itu (Safawi) bagi memperkuatkan lagi jentera sayap dan serangan pasukan lebih-lebih lagi kami bakal beraksi dalam saingan Piala AFC selain Liga Malaysia (Liga M).

Safawi Rasid Ratchaburi
Sumber Gambar: Ratchaburi

“Lagipun kami sudah berusaha ke arah itu (mendapat Safawi) selepas dikhabarkan pemain berusia 26 tahun itu tidak begitu gembira dan selesa beraksi bersama kelab Ratchaburi FC dan bersedia untuk kembali mewarnai Liga M.

“Jika tidak ada sebarang masalah, Insya-Allah bekas pemain kelab T-Team itu bakal kembali mewarnai pasukan negeri kelahirannya pada jendela kedua perpindahan pemain nanti,” katanya.

Dalam satu wawancara eksklusif, TMJ menegaskan beliau masih berhubung dengan Safawi dan merasakan pemain itu tidak begitu selesa di Thailand.

“Safawi ada berhubung dengan saya. Saya rasa dia tak begitu selesa di sana. Kita tengok macam mana kerana yang nak pergi loan bukan saya yang hantar dia. Dia yang nak pergi sendiri.

“Kami hanya memberi kerjasama kepada beliau dimana dia nak dapat lebih banyak permainan dan kami beri itu semua. Buat masa ini masih belum ada kata putus sama ada dia nak balik ataupun tidak.

“Saya tahu dia kurang selesa di sana. Ada ura-ura yang mengatakan Safawi Rasid nak balik sini (JDT). Tetapi tengok dulu. Saya pun belum membuat keputusan,” kata TMJ.