Johor Darul Ta’zim (JDT) mengambil keputusan untuk meminjamkan dua pemain sayap mereka, Safawi Rasid dan Moussa Sidibé ke kelab Thailand, Ratchaburi FC bagi menghadapi saingan liga musim 2022/2023.
Baca Juga:
- Safawi Rasid Bakal Beraksi Di Liga Thailand?
- TMJ Balas Kritikan Giancarlo Gallifuoco, “Tong Kosong Memang Nyaring Bunyinya”
- TMJ: JDT Akan Pinjamkan Beberapa Pemain Senior Pasukan
Perkara ini dikongsikan oleh pihak kelab menerusi Pengarah Teknikal baharu pasukan, Hector Bidoglio dimana tempoh pinjaman kedua pemain dipercayai selama satu musim.
Johor Darul Ta'zim FC (JDT) have reached an agreeement with Thai League 1 side Ratchaburi FC to loan Safawi Rasid and Moussa Sidibé.
The Southern Tigers wish the duo all the best for the coming season.
Hector Bidoglio, Johor Darul Ta’zim FC Technical Director pic.twitter.com/wMSKCc8r7o
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) December 4, 2022
“Johor Darul Ta’zim (JDT) telah mencapai persetujuan dengan pasukan Liga 1 Thailand, Ratchaburi FC untuk meminjamkan Safawi Rasid dan Moussa Sidibé. Harimau Selatan mendoakan yang terbaik buat kedua-dua mereka untuk musim akan datang,” dipetik dari kenyataan dari pihak kelab.
Sebelum ini, Pengerusi Ratchaburi, Tanawat Nitikanchana mengumumkan kelab itu telah menandatangani Safawi dari JDT pada jendela perpindahan kedua Liga Thailand musim 2022/23.
Difahamkan Safawi akan mengisi kuota pemain import ASEAN pasukan itu bersama dua pemain Myanmar, Myo Min Latt dan Hein Phyo Win.
“Setakat ini, ia sudah selesai. Pemain itu akan menyertai kami selepas tamat tugasannya bersama skuad kebangsaan dan saya berharap kehadirannya dapat menambah jumlah penyokong kelab,” katanya.
Pemain yang berusia 25 tahun itu pernah beraksi menentang Ratchaburi ketika mewakili JDT dalam saingan AFC Champions League (ACL) pada musim 2021.
Beliau juga pernah membantu Malaysia menewaskan Thailand 1-0 ketika Kelayakan Piala Dunia 2022 yang berlangsung di Dubai, UAE.
Safawi yang baru sahaja melangsungkan perkahwinannya bersama seorang pelakon, Syifa Melvin dijangka akan menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya pada 5 Disember ini.
Kem latihan tersebut adalah sebahagian daripada persiapan menghadapi saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 yang bakal berlangsung pada penghujung bulan ini.
Selepas tamat Piala AFF, peminat bola sepak tempatan mungkin akan menyaksikan kelibat Safawi dalam saingan Liga Thailand yang kembali bersambung pada 21 Januari 2023.
Sebelum ini, ada beberapa pemain dari Malaysia yang pernah beraksi dalam saingan Thai League 1 antaranya Shahrel Fikri (Nakhon Ratchasima), Norshahrul Idlan Talaha (BG Pathum United) serta Mohamadou Sumareh dan Dominic Tan (Police Tero).
Kini, pemain naturalisasi, Liridon Krasniqi turut berada dalam saingan Thai League 1 bersama pasukan Khon Kaen United.