Pihak polis menahan tiga penyokong ekoran kekecohan yang tercetus di luar Stadium Bandaraya selepas aksi Liga Super 2023 antara Penang menentang Perak.

Baca Juga:

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata kekecohan tersebut terjadi selepas ada insiden saling provokasi antara penyokong kedua-dua pasukan.

“Pergaduhan berpunca daripada provokasi antara penyokong kedua-dua pasukan.

“Polis berjaya mengawal keadaan dan menahan tiga lelaki tempatan yang disyaki terbabit dalam kejadian itu bagi siasatan lanjut,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Asisten Komisioner Soffian Santong turut menegaskan pihaknya sedang giat menjejaki individu lain yang disyaki terlibat dalam kekecohan yang terjadi di luar Stadium Bandaraya.

Perlawanan antara kedua pasukan dimenangi oleh Penang dimana pasukan itu turut mencipta kemenangan pertama dalam saingan Liga Super musim ini.

Hassan Ali ‘Soony’ Saad hanya memerlukan enam minit untuk menggembirakan para penyokong tuan rumah apabila larian derasnya menuju ke kawasan penalti Perak susulan hantaran cantik Nik Akif Syahiran Nik Mat disempurnakan dengan baik untuk meletakkan Penang di hadapan.

Jaringan kedua Penang terhasil pada minit ke-37 apabila Nik Akif yang merampas bola di kawasan lawan terus menuju ke pintu gol lalu berjaya menewaskan Bryan See.

Skuad kendalian Datuk Lim Teong Kim mendapatkan jaringan pada minit ke-71 selepas Seo Seonung mudah menolak masuk bola setelah menerima hantaran Hadi Fayyadh.

Ketika Perak cuba untuk bangkit, Giovane Gomes da Silva mematikan api perjuangan pasukan lawan dengan jaringan ketiga menerusi tandukan pada minit ke-83 sekali gus mengesahkan kemenangan 3-1 buat Penang.