Proses penanaman rumput jenis Zeon Zoysia kini telah bermula sejak Rabu di padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bagi menggantikan rumput jenis Cowgrass.
Perkembangan itu dikongsikan oleh Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac menerusi laman instagaramnya apabila beliau ‘turun padang’ meninjau sendiri proses yang sedang dijalankan pihak kontraktor.
Turut hadir di SNBJ ialah Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John yang mahu melihat sendiri keadaannya.
“Tinjauan ke Stadium Nasional (Bukit Jalil) hari ini bersama-sama Datuk Seri Windsor Paul John wakil dari Asian Football Club (AFC) dan Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Faidz Sanusi bagi melihat sendiri proses penanaman rumput dan baik pulih prasarana di kawasan sekitar stadium.
“Beberapa penambaikan dilakukan bagi memastikan penggunaan Stadium Nasional Bukit Jalil akan datang berada di tahap terbaik sekali gus keselamatan serta keselesaan semua menjadi keutamaan,” tulis Hans Isaac.
SNBJ bakal menjadi antara 4 buah stadium utama di Asia Tenggara yang menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia selain Stadium Nasional Singapura, Stadium Utama Gelora Bung Karno serta Stadium JDT, Stadium Sultan Ibrahim.
Difahamkan proses penggantian rumput ini menelan kos berjumlah RM2.3 juta dan ditaja oleh TMJ sebagai sumbangan kepada bola sepak Malaysia.
DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor berangkat ke Majlis Perasmian Penggantian Rumput Stadium Nasional Bukit Jalil pada 18 Mac 2023. Baginda telah menaja padang Zeon Zoysia stadium nasional sebagai sumbangan kepada bola sepak Malaysia. (1/2) pic.twitter.com/iFSPBX0TnT
— HRH Crown Prince of Johor (@HRHJohorII) March 18, 2023
Rumput lembu atau jenis ‘Cowgrass’ tidak sesuai lagi digunakan untuk bola sepak moden. Ia mempunyai akar yang pendek dan daun besar serta lembut sekaligus menyebabkan bola melantun setiap kali melakukan hantaran.
Penggunaan rumput ini pernah dikritik oleh ketua jurulatih UAE, Bert Van Marwijk ketika aksi Kelayakan Piala Dunia 2022 tahun lalu. Beliau menyifatkan rumput jenis ini terlalu tebal dan menyukarkan pemainnya untuk membuat hantaran dengan lancar.
Rumput Zeon Zoysia jenis tahan lasak dengan cuaca hujan dan tahan panas. Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut menawarkan penukaran rumput ini kepada semua stadium di Malaysia dengan membantu sebanyak 50 peratus kos penukaran rumput manakala 50 peratus lagi ditanggung oleh kerajaan negeri.
Pemasangan rumput ini dijangka akan siap sebelum saingan Pestabola Merdeka bermula pada bulan Oktober 2023.