Cristiano Ronaldo kekal sebagai pemain yang paling banyak menjaringkan gol di peringkat antarabangsa apabila meledak dua gol buat kali kedua berturut-turut untuk Portugal dalam kempen kelayakan Euro 2024 menentang Luxembourg.

Pemain 38 tahun itu membuka jaringan untuk juara Euro 2016 dengan menyempurnakan tandukan Nuno Mendes dan menambah jaringan pada minit ke-31 dalam kemenangan 6-0 itu, awal pagi ini.

Ronaldo yang meledak dua kali ketika menentang Lichtenstein pada Khamis lalu kini melebarkan rekodnya kepada 198 penampilan dan 122 gol di peringkat antarabangsa.

“Saya suka memecahkan rekod, saya telah memecahkan banyak rekod,” kata Ronaldo kepada pemberita.

Pengendali Portugal, Roberto Martinez mengakui kagum dengan kehebatan Ronaldo yang membantu pasukannya memiliki kelebihan dua mata di tangga teratas Kumpulan G selepas menjaringkan 10 gol tanpa bolos.

“Cristiano adalah pemain unik di dalam dunia dengan jumlah kap antarabangsa tertinggi.

“Pengalamannya cukup penting di dalam bilik persalinan. Semua pemain memainkan peranan penting, kesungguhan pemain muda serta pengalaman dibawa pemain seperti Cristiano Ronaldo, Rui Patricio dan Bernardo Silva.

“Sangat penting untuk memiliki pasukan yang lengkap di bilik persalinan,” katanya.

Dalam senarai 10 penjaring gol terbanyak sepanjang zaman di peringkat antarabangsa, hanya Lionel Messi sahaja pemain yang masih aktif beraksi dan berpotensi memotong rekod Ronaldo dalam tempoh terdekat.

Ketika ini, Messi telah menjaringkan 99 gol dan berada di tangga ketiga secara keseluruhan di belakang lagenda Iran, Ali Daei (109 gol). Manakala lagenda bola sepak negara, Allahyarham Mokhtar Dahari masih kekal di tangga keempat dunia dengan rekod 89 gol.

Lionel Messi memerlukan 23 gol untuk memecahkan rekod Ronaldo sekaligus berpeluang menyaksikan dua ‘GOAT’ bersaing selaku penjaring terbanyak dunia. Pada usia 35 tahun, Messi masih mampu melakukan jika beliau belum bersara daripada menyarung jersi Argentina.