Legenda bola sepak dunia, Ronaldinho mendedahkan bahawa anak lelakinya, Joao de Assis Moreira atau lebih mesra dengan panggilan Joao Mendes sudah menandatangani kontrak bersama Akademi Barcelona, La Masia.
Baca Juga:
- Ronaldinho Perkuatkan RANS Nusantara Hadapi Kejohanan 3 Penjuru
- Ronaldinho Akhirnya Bebas Dari Penjara Selepas Diikat Jamin Sebanyak RM6 Juta
- Kelab Indonesia, RANS Cilegon Berjaya Dapatkan Khidmat Ronaldinho
Joao Mendes yang kini berusia 17 tahun telah menjalani sesi percubaan bersama kelab gergasi La Liga itu sejak awal Januari lalu selepas menamatkan kontraknya dengan Cruzeiro.
Menurut sumber laporan Marca, Joao Mendes beraksi di posisi penyerang dan diwakili oleh Roberto de Assis sebagai ejennya yang turut merupakan bapa saudaranya.
Difahamkan, Roberto telah berhubung terus dengan Presiden Barcelona, Joan Laporta untuk membincangkan tentang perjanjian bagi membolehkan pemain muda tersebut berhijrah ke Nou Camp.
“Dengan ketibaan anak saya di Barcelona, saya akan lebih banyak bersama dengan kelab ini,” ujar Ronaldinho.
“Saya tidak pernah berada di luar daripada kelab ini. Barcelona adalah sebahagian daripada hidup saya.”
“Ke mana sahaja saya pergi, saya membawa Barcelona bersama dalam diri saya. Saya akan lebih kerap bersama Barcelona selepas ini.”
Meskipun beraksi selaku penyerang tulen, helah menakjubkan serta gerak tubuh Joao Mendes ketika mengawal bola dalam usaha melepasi halangan pemain lawan kelihatan seperti Ronaldinho.
Dilahirkan pada 25 Februari 2005, Joao Mendes merupakan ‘hadiah terindah’ hasil perkahwinan Ronaldinho dengan bekas isterinya, Janaina Mendes pada tahun 2004. Mereka kemudiannya berpisah tiga tahun kemudian dimana Joao tinggal bersama dengan ibunya.