Tongak pertahanan tengah Kedah Darul Aman (KDA) FC, Rodney Celvin atau dikenalikan sebagai Bonai dilaporkan memilih haluan baharu walaupun masih mempunyai kontrak sehingga musim depan.

Baca Juga:

Perkembangan itu turut disahkan oleh penyokong setia sang kenari, MHazriq Fahimy Abdullah menerusi laman facebooknya yang menjelaskan Bonai telah menamatkan kontraknya lebih awal atas permintaan dirinya sendiri.

“Gandingan beliau bersama Renan Alves, Marc Vales , Akmal Zahir, Bojan Ciger & lain lain sepanjang di Kedah pasti akan dirindui. Bonai kini telah memilih haluan baru.

“Meskipun masih mempunyai kontrak sehingga musim depan, Bonai dan pihak pengurusan melalui apa yg disampaikan oleh Bonai, telahpun mencapai persetujuan bersama untuk menamatkan kontraknya dengan lebih awal hanya sehingga musim ini atas permintaan dari Bonai sendiri.

“Apapun, berita ini adalah satu lagi tamparan hebat untuk bolasepak kita. Merasa sedih dan masih terkejut dengan apa yang terjadi, namun kita menghormati pendirian yang telah dibuat oleh Bonai sendiri atas sebab sebab tertentu,” tulisnya.

Rodney sering menjadi antara pilihan utama untuk ketua jurulatih, Nafuzi Zain mengisi benteng pertahanan pasukan pada musim 2023 ini.

Difahamkan Kuching City antara destinasi Rodney untuk saingan Liga Malaysia pada musim depan berdasarkan pendedahan daripada wartawan sukan tempatan, T. Avineshwaran.

Selain Rodney, khabar angin di media sosial menyatakan beberapa lagi pemain KDA FC turut dikatakan akan berhijrah ke pasukan lain musim depan.

Ianya sekaligus menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan peminat mengenai situasi pasukan termasuk kemungkinan berlaku masalah tunggakan gaji seperti dilaporkan oleh media tempatan sebelum ini.

Bagaimanapun, pengurusan KDA FC akan membuat sidang media pada hari esok (Sabtu) jam 11.00 pagi untuk menjelaskan mengenai situasi sebenar pasukan tersebut.