Pemain pertahanan Kedah Darul Aman (KDA FC), Rodney Celvin Akwensive mengakui telah melakukan kesilapan apabila bertindak menyepak kepala pemain import Perak, Seo Seonung ketika aksi Piala Malaysia 2023 semalam.

Akibat daripada tindakan tersebut, beliau telah dilayangkan kad merah pada minit ke 61 dan kemungkinan bakal digantung beberapa perlawanan.

Bagaimanapun, Rodney sempat mengeluarkan kenyataan permohonan maaf hari ini menerusi laman instagramnya dan menjelaskan beliau tiada niat untuk mencederakan pemain itu.

“Saya ingin memohon maaf kepada pemain Perak FC, penyokong-penyokong di atas insiden yang berlaku semasa perlawanan Piala Malaysia semalam.

“Sejujurnya saya tiada niat untuk mencederakan mana-mana pemain. Insiden tersebut berlaku secara spontan setelah di kasari. Semoga Seo cepat sembuh,” tulisnya.

Susulan insiden tersebut, Seo Seonung disahkan mengalami kecederaan patah hidung dan terpaksa berehat dalam satu tempoh yang agak panjang.

Selepas kejadian semalam, ramai peminat bola sepak tempatan mahu Malaysian Football League (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjatuhkan hukuman berat ke atas Rodney kerana menyebabkan kecederaan serius terhadap pemain lawan.

Semoga Rodney menjadikan insiden ini sebagai pengajaran untuk lebih berhati-hati dalam setiap tindakan yang merugikan diri sendiri dan pasukannya.