Para penyokong skuad Harimau Malaya berpeluang membeli tiket sambil menderma apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan sebahagian daripada hasil jualan tiket perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026, Malaysia menentang Kyrgyzstan akan disumbangkan kepada tabung Palestin.

Ianya adalah sebagai tanda solidariti kepada Palestin terhadap apa yang berlaku atas dasar keamanan dan kemanusiaan.

Selain itu, hasil jualan tiket turut disumbangkan kepada tabung Kempen Selamatkan Harimau Malaya.

Harga tiket yang ditetapkan bagi perlawanan tersebut ialah RM40 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak 6-12 tahun) bagi Kategori Terbuka; RM60 bagi Kategori Grandstand dan RM80 bagi Kategori Premium.

“RM1 daripada setiap jualan tiket (kesemua kategori) bagi perlawanan menentang Republik Kyrgyz ini akan disumbangkan ke tabung Kempen Selamatkan Harimau Malaya sepertimana yang telah dilaksanakan oleh FAM bermula dari Perlawanan Antarabangsa Tier 1 menentang Turkmenistan dan Hong Kong pada Mac lalu.

“Sementara RM2 daripada setiap jualan tiket tersebut juga akan disumbangkan ke tabung Palestin sebagai tanda soladiriti dan membantu mengurangkan penderitaan rakyat Palestin yang sedang berdepan konflik di Gaza ketika ini,” tulis kenyataan rasmi FAM.

Skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon akan memulakan aksi Kumpulan D, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, menentang Republik Kyrgyz di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Khamis, 16 November 2023, jam 9.00 malam.

Penetapan harga-harga tiket tersebut telah diputuskan oleh Jawatankuasa Tiket dan Stadium FAM selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk peningkatan semasa kos-kos berkaitan iaitu melibatkan kos pengurusan dan penganjuran perlawanan.

Selain itu, penetapan harga RM40 bagi Kategori Terbuka adalah berdasarkan taraf perlawanan ini iaitu perlawanan Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia yang pastinya berbeza dengan harga tiket Perlawanan Antarabangsa Tier 1 iaitu RM30 bagi Kategori Terbuka.

Para penyokong boleh mendapatkan tiket perlawanan ini secara dalam talian di www.tickethotline.com.my bermula esok (Selasa, 7 November 2023) sehingga ke hari perlawanan (Khamis, 16 November 2023).

Tiada sebarang penjualan tiket secara fizikal di kaunter tiket stadium atau mana-mana premis.