Ketua jurulatih Kelantan, Rezal Zambery Yahya mahu anak buahnya memberikan persembahan terbaik apabila perlu menghadapi cabaran getir Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi suku akhir TM Piala Malaysia 2022.

Baca Juga:

Kelantan mara ke suku akhir selepas berjaya menundukkan Sarawak United menerusi agregat 2-1 selepas aksi di Kota Bharu malam tadi berakhir dengan terikat 1-1.

Meskipun sedar jurang besar antara skuad kendaliannya dengan JDT, Rezal tetap positif dalam mempersiapkan pasukan bagi menghadapi perlawanan pertama yang dijadualkan berlangsung pada 6 November nanti.

Apa yang menjadi keutamaan buat Rezal adalah barisan anak buahnya dapat memberikan sepenuhnya komitmen dalam usaha memberikan yang terbaik untuk berhadapan dengan gergasi bola sepak tanah air itu.

Khidmat Nurshamil Abd Ghani pastinya ditagih Rezal bagi menghadapi JDT. Kredit Foto: Malaysian Football League

“Kita sedar JDT bukan pasukan yang berada di pertengahan liga, jadi juara Liga Super bertemu dengan pasukan Kelantan, bersaing dalam Liga Premier kalau difikirkan jurang yang terlalu jauh dan sebagainya tetapi pada saya dalam bola sepak kita cuba bagi yang terbaik dan bersaing.”

“Terutamanya para pemain saya perlu memberikan persembahan yang terbaik jadi keputusan itu kita akan tengok kemudian. Apa yang penting fokus dan komitmen mereka ketika perlawanan itu amat penting,” ujar Rezal bercakap dalam sidang media selepas perlawanan malam tadi.

“Kita pun daripada awal memang sudah menjangkakan sekiranya kita masuk ke suku akhir kita akan berlawan dengan JDT, jadi kita akan cuba yang terbaik kemudiannya kita tengok macam mana.”

”Pada saya kalau kita memikirkan bahawa kita serba kekurangan bermakna kita akan terus kurang. Jadi, kita cari apa kekuatan kita. Memang orang akan cakap jarak terlalu jauh. Kita akan cari kelebihan untuk kita cuba bersaing dengan pasukan-pasukan seperti JDT,” tambah Rezal lagi.