Tugas semakin berat bakal menanti Rexy Mainaky apabila beliau kini telah menggalas tanggungjawab selaku Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Selepas kembalinya beliau ke Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Oktober 2021, tugasan itu dipegang oleh Wong Choon Hann dan Rexy bertindak selaku timbalan pengarah kejurulatihan.

Pada penghujung Disember 2021, terdapat penstrukturan semula dilakukan yang menyaksikan Choong Hann dijadikan sebagai pengarah kejurulatihan perseorangan manakala Rexy Mainaky dinaikkan pangkat sebagai pengarah kejurulatihan beregu.

Sekali lagi penstrukturan disaksikan pada 23 April 2023 dimana BAM dan ABM dipisahkan sekali gus kedua-dua indvidu tersebut bertugas di ABM.

Dengan ketiadaan Choong Han yang memilih untuk berkelana ke Hong Kong bagi membimbing perseorangan lelaki negara tersebut, ABM melihat kepentingan untuk hanya seorang pengarah sahaja yang memantau keseluruhan pasukan.

Ini bermakna legenda badminton Indonesia itu akan diberikan kuasa penuh dalam memantau prestasi keseluruhan pasukan dalam sektor perseorangan dan beregu.

Meskipun masih belum ada pengumuman rasmi dibuat berhubung perkembangan terkini itu, Rexy difahamkan sudah memulakan tugasan baharunya itu di Sukan Asia 2022 yang sedang berlangsung.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh menurut sumber laporan Harian Metro.

Selain itu, beliau turut mendedahkan BAM masih lagi dalam proses untuk meneliti calon yang benar-benar sesuai bagi menggantikan Datuk Misbun Sidek sebagai Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja ABM.

Sumber