Sebuah kelab amatur dari Kemaman, Real Chukai FC kini muncul sebagai kelab amatur pertama di Terengganu yang menguruskan fasiliti stadium sendiri melalui syarikat Glorious Innovation Sdn. Bhd. yang diperbadankan dan berkonsepkan private-public partnership (PPP).
Persetujuan mengambil alih Stadium Mak Chili dari pihak Majlis Perbandaran Kemaman bermula awal tahun 2020 menyaksikan Real Chukai FC diberi hak komersial sepenuhnya dalam pengurusan stadium tersebut sekaligus mendekatkan lagi hubungan kelab dengan komuniti setempat.
“Alhamdulillah, walaupun dalam suasana Covid 19 melanda negara sedikit sebanyak menjejaskan momentum kami yang baru mengambil alih pengurusan Stadium Mak Chili namun kami tetap optimis dan sentiasa memastikan pelan Real Chukai sentiasa realistik.
“Dengan adanya fasiliti stadium ini, kami percaya Real Chukai mampu melangkah lebih jauh dan turut memberi manfaat pada komuniti setempat khususnya,” kata pengurus Real Chukai FC, Ammirul Hakim kepada Vocket FC.
Bagi menjana pendapatan untuk kestabilan kewangan kelab, mereka turut membuka peluang kepada masyarakat setempat dan pasukan amatur di daerah kemaman bahkan di luar kemaman untuk menyewa padang sintetik stadium tersebut.
“Apa yang pihak stadium tawarkan, 4 slot pada hari bekerja sehingga lewat malam (2pagi) dan 7 slot pada hari minggu dengan kadar sewaan RM400 siang, RM600 malam. Secara tidak langsung kami mempunyai sumber kewangan sendiri untuk mengatur perancangan dimasa akan datang.
“Dengan adanya servis ini, alhamdulillah kini aktiviti bolasepak di daerah ini dilihat makin meriah dengan kewujudan kelab-kelab yang terdiri daripada syarikat dan persatuan mula dibentuk. Ianya sebuah senario yang positif buat masyarakat setempat,” tambahnya.
Selain itu, mereka juga turut merancang untuk membina sebuah café serta Real Chukai Dockstore sebagai sebuah tarikan baru stadium tersebut.
“Di Stadium Mak Chili juga kami turut membina sebuah Official Store (Real Chukai Dockstore) yang bertanggungjawab menjual merchandise kelab dan juga café Real Chukai (dalam proses kelulusan pelan).
“Pelan pembinaan sudahpun memasuki fasa akhir untuk diluluskan oleh pihak Majlis Perbandaran. Kami bercadang menyediakan suasana yang santai dan mungkin sebagai tumpuan orang ramai untuk menyaksikan perlawanan bola sepak secara live di skrin besar yang kami sediakan,” jelas Ammirul.
Real Chukai juga masih dalam penelitian untuk menyertai liga M3 untuk musim 2021. Namun begitu, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan oleh peningkatan kes COVID-19 telah menjejaskan perancangan itu.
Melalui kelebihan yang ada, mereka juga berhasrat untuk menarik kehadiran penyokong dengan bermain di halaman sendiri.
“Bermain di Terengganu Amateur League (liga M4) bagi kami merugikan kerana tidak memanfaatkan kelebihan mempunyai home base sendiri memandangkan format liga TAL sendiri memerlukan semua kelab yang bertanding bermain di Kuala Terengganu dan tiada timbal balik.
“Bagi memanfaatkan kelebihan yang kami ada, liga M3 dilihat antara liga yang menarik perhatian kami kerana format perlawanan timbal balik dan peluang untuk bermain dihalaman sendiri di hadapan penyokong sendiri.
“Rekod kehadiran penonton di Stadium Mak Chili ketika pertemuan Peringkat Pertama Shopee Piala FA 2020 menerima kunjungan Melawati FC sangatlah memberansangkan dan boleh dikatakan “full house”.
“Kami yakin, orang chukai khususnya tiada masalah untuk memberi sokongan kepada kelab Real Chukai sekaligus mencipta peluang perniagaan kepada komuniti setempat dalam memperkenalkan servis dan jenama mereka,” ujarnya.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan dan asia melalui pautan dibawah.
Kelab Kemboja Ini Berjaya Raih ‘Sumbangan’ Lebih RM100,000 Dalam Tempoh Kurang 10 Hari
Kerteh FC Umum INKA Creative Beli 10% Saham Syarikat, Bakal Garap Strategi Lonjak ‘Branding’ Kelab
Enam Pasukan Diberikan Lesen Kelab Kebangsaan Kecuali UKM FC