Skuad warga kota, Kuala Lumpur City FC (KL City) secara rasminya menjadi milik Rinani Group Berhad (Rinani) iaitu sebuah syarikat firma perunding kewangan apabila sudah menandatangani perjanjian untuk memperoleh pegangan majoriti kelab itu.
Baca Juga:
- Pemilik Baharu KL City Intai Peluang Kerjasama Dengan Kelab UAE
- KL City vs JDT: Bas Penyokong Johor Darul Ta’zim Dibaling Batu
- KL City Juara Piala Menteri Wilayah Persekutuan 2023
Pengarah Rinani, Azri Azerai berkata, melalui perjanjian itu secara rasminya menjadikan Rinani sebagai pemilik saham majoriti KL City, sekali gus mahu membawa kelab itu ke tahap lebih tinggi.
Pada masa sama, beliau mahu memberi penekanan membabitkan aspek kejurulatihan, pengambilan pemain dan pembangunan belia.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada KLFA atas semua usaha mereka lakukan selama ini untuk kelab dan akan membinanya untuk membawa KL City ke peringkat seterusnya.
“Selain itu, kami akan berusaha ke arah mengadakan lebih banyak kerjasama korporat dan penajaan untuk kelab lebih mampan dari segi kewangan serta memastikan tahap latihan yang boleh membawa kelab ke peringkat antarabangsa.
“Pada masa sama, kami turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas sokongan beliau terhadap usaha kami untuk menggalakkan pertumbuhan bola sepak Malaysia,” katanya dalam kenyataan media.
KL City yang juga merupakan naib juara Piala AFC 2022 pernah terpalit dengan isu kewangan dan merupakan antara kelab yang mempunyai bajet kecil. Namun, segalanya akan berubah selepas diuruskan oleh Rinani yang mempunyai kekuatan dari segi kewangan.
Difahamkan, Rinani bersetuju untuk mengeluarkan RM5.1 juta, sekali gus memegang 51 peratus KL City FC.
Sementara itu, Presiden KLFA, Khalid Abdul Samad berkata, ia adalah hari bersejarah bagi KL City dengan pemilikan majoriti beralih kepada Rinani melalui penswastaan kelab demi kepentingan semua pihak.
“Penswastaan kelab adalah demi kepentingan semua pihak yang terlibat dalam sukan bola sepak profesional, termasuk pemain, penyokong, penaja dan vendor yang berkait rapat dengan kelab selama ini.
“Kami mendoakan agar tindakan ini akan mendatangkan kejayaan kepada bukan sahaja KL City FC dan Rinani Group tetapi juga KLFA itu sendiri,” katanya.