Penyerang skuad kebangsaan, R. Kogileswaran kembali ke saingan Liga Malaysia selepas diumumkan sebagai pemain baharu pasukan Penang FC hari ini.

Khidmat beliau menjadi buruan beberapa pasukan Liga Super selepas menamatkan kontraknya bersama kelab Korea Selatan, Chungbuk Cheongju.

Pemain berusia 24 tahun ini sudah mempunyai pengalaman luas dalam Liga Malaysia kerana pernah bersama pasukan Sri Pahang FC selama 3 musim dari tahun 2016-2019, kemudian berhijrah ke pasukan PJ City FC untuk 2 musim sebelum berkelana ke Liga Korea (K2) untuk bersama pasukan Chungbuk Cheongju FC.

Kogi menyertai Chungbuk Cheongju yang beraksi di divisyen dua pada Januari tahun ini sekaligus menjadikan beliau sebagai pemain pertama dari Malaysia yang menyertai kelab Korea Selatan.

Kali terakhir Kogi diturunkan bersama pasukan tersebut ialah pada 29 Mac lalu ketika saingan Piala FA. Beliau sempat beraksi selama 60 minit sebelum dikeluarkan di separuh masa kedua.

Namun sejak itu, nama beliau semakin jarang berada dalam senarai kesebelasan utama pemain ataupun barisan simpanan untuk saingan liga dan situasi itu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat Malaysia.

Bagaimanapun, jurulatih kelab itu, Choi Yun-Kyum menjelaskan beliau mahu memberi lebih banyak masa kepada Kogileswaran untuk menyesuaikan diri dan memahami taktikal pasukan sebelum turun beraksi dalam perlawanan sebenar.

Kogi juga telah bersama skuad kebangsaan Malaysia sejak tahun 2018 dan telah menjaringkan 2 gol setakat ini.

Selain Kogi, Penang turut mendapatkan khidmat pemain sayap lincah, Al Hafiz Harun yang telah beraksi bersama pasukan Kedah musim ini.