Mikel Arteta terus menunjukkan sikap tegasnya ke atas pemain. Terbaru Arteta memecat Pierre-Emerick Aubameyang daripada jawatan ketua pasukan.
Arsenal dalam kenyataan rasminya berkata: “Berikutan perlanggaran disiplin baru baru ini, maka Pierre-Emerick Aubameyang bukan lagi ketua pasukan kelab kita, dan tidak akan dipertimbangkan dalam pemilihan pasukan pada Rabu menentang West Ham United.”
“Kami sentiasa berharap para pemain kita terutama sekali kapten kita, untuk berkerja mengikut peraturan dan standard yang kita semua telah tetapkan dan persetujui.”
An update on Pierre-Emerick Aubameyang
— Arsenal (@Arsenal) December 14, 2021
Sebelum ini Pierre-Emerick Aubameyang telah lambat melapor diri ke kem latihan Arsenal walaupun sudah diberika pelepasan khas oleh kelab.
Aubameyang kemudian disisihkan daripada pemilihan untuk aksi berdepan dengan Southampton. Hari yang sama Arteta mengesahkan bahawa pemain itu tidak ada dalam senarai – malah tiada dalam bangku simpanan – adalah kerana masalah disiplin.
Ini bukan pertama kali Aubameyang melanggar peraturan. Sebelum ini Arteta pernah menyisihkan Aubameyang kerana kesilapan yang hampir serupa sebelum aksi derbi London Utara menentang Spurs.
Di mana ketika itu Aubameyang lambat untuk hadir ke sesi perjumpaan pasukan.
Aubameyang dilantik menjadi kapten menggantikan Granit Xhaka selepas pemain itu membaling armband kapten dan bertelagah dengan penyokong Arsenal.
Arteta mengesahkan bahawa beliau sudah memaklumkan perkara itu terlebih dahulu kepada Aubameyang secara bersemuka.
Kalau tidak kontroversi, bukan kapten Arsenal namanya. Sebelum Xhaka, Laurent Koscielny meminta dijual. Dan kemudian membuat gimik membuka jersi Arsenal dalam pengenalan bersama pasukan barunya. Ianya mengundang marah di kalangan peminat Arsenal.
Beberapa tahun sebelum itu Robin Van Persie membuat keputusan mengejut minta dijual ke Manchester United, yang merupakan seteru Arsenal.
Siapakah kapten Arsenal yang seterusnya? Peminat Arsenal pastinya mahukan calon yang boleh menggantikan kapten seperti Patrick Vieira.