Kemaskini terbaharu kedudukan ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menyaksikan Malaysia kini menghuni tangga ke-137 dunia turun 3 anak tangga berbanding 134 pada bulan lepas.

Bagaimanapun, skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon berjaya memintas Filipina (138 dunia) selepas 12 tahun dan kini merupakan pasukan ketiga terbaik Asia Tenggara dibelakang Vietnam (94 dunia) dan Thailand (112 dunia).

Keputusan itu adalah hasil daripada kejayaan Harimau Malaya menewaskan India, 4-2 ketika saingan Pestabola Merdeka 2023 sebelum ditewaskan oleh Tajikistan 0-2 di final.

Ia menjadikan jumlah mata yang dipungut ialah sebanyak 1.82 mata sekaligus mengumpulkan mata keseluruhan sebanyak 1096.72.

Sebelum ini, Harimau Malaya mengikat dua pasukan kelompok 100 dunia, Syria (2-2) dan China (1-1) dalam aksi persahabatan antarabangsa di Chengdu, China pada 6 dan 9 September lalu.

Hasil keputusan tersebut, Malaysia telah mengumpul 1094.9 mata keseluruhan, naik 3.33 mata berbanding 1091.57 mata dalam kemaskini pada bulan Ogos 2023.

Malaysia juga berpeluang naik ke tangga 130 dunia sekiranya menang ke atas Kyrgyzstan dan Taiwan dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026 yang berlangsung bulan November depan.

Ini peluang terbaik untuk skuad kendalian Kim Pan Gon mencapai sasaran berada dalam kelompok 120 dunia kerana jumlah mata yang ditawarkan untuk kempen kelayakan Piala Dunia jauh lebih besar daripada perlawanan persahabatan antarabangsa.

Juara Piala Dunia 2022, Argentina kekal pasukan nombor satu dunia dengan mengumpul 1861.29 mata keseluruhan diikuti Perancis di tangga kedua dan Brazil menghuni kedudukan ketiga.

Jepun yang menghuni tangga ke-18 dunia pula muncul pasukan nombor 1 Asia dengan mengumpul 1612.99 mata manakala Iran (21) dan Korea Selatan (24) berada di tangga kedua dan ketiga benua itu.