Bekas jurulatih UiTM FC, Raja Isa Raja Akram Shah mencipta sejarah apabila menandatangani kontrak selama 1 musim dengan Muktijoddha Sangsad KC dan merupakan jurulatih pertama dari Malaysia yang mengendalikan kelab Bangladesh.
Sebelum ini, beliau terlibat dalam mengendalikan beberapa kelab Liga Indonesia dan pernah menjadi pembantu jurulatih kepada Irfan Bakti Abu Salim ketika bersama Persipura Jayapura pada tahun 2007.
Musim lepas, Raja Isa menjadi jurulatih kepada PSPS Riau namun keadaan semasa Liga Indonesia yang ditangguhkan hampir setahun menyebabkan beliau mengambil keputusan untuk berhijrah ke tempat baharu.
“Liga Indonesia untuk saya luar biasa. Kebetulan tawaran yang datang ini untuk saya menjadi satu-satunya jurulatih Asia di Liga Bangladesh.
“Jadi, saya mengambil kesempatan ini bukan untuk diri sendiri, secara tidak langsung saya ucapkan terima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang membantu saya menjadi jurulatih tetapi Indonesia yang membesarkan saya,” katanya kepada Vocket FC.
Berdasarkan carian di internet, Muktijoddha Sangsad KC beraksi dalam saingan Liga Premier Bangladesh (BPL) dan turut diperkuatkan oleh bekas pemain import Negeri Sembilan pada musim 2004 hingga 2006 iaitu Christian Bekamenga Bekamengo.
Seperti jurulatih lain, Raja Isa turut mempunyai impian untuk membawa kelab tersebut muncul sebagai Juara Liga Bangladesh musim depan.
“Dalam bola sepak, apa saja boleh terjadi. Lebih baik kita merendah diri dan buat apa sahaja daripada banyak bercakap.
“Sebagai jurulatih, sudah tentu saya ingin menjadi juara. Tidak ada jurulatih yang tak ingin menjadi juara. Untuk menjadi juara tetap terbuka, yang penting sekarang niat bekerja,” jelasnya.
Ketika ditanya kenapa beliau enggan pulang berbakti di Malaysia, Raja Isa tetap mahu ke luar negara untuk mengutip seberapa banyak pengalaman dan jika diberi peluang, beliau mahu menjadi jurulatih pasukan JDT.
“Saya sudah hampir 14 tahun di Indonesia. Sekarang mahu ke Bangladesh. Sebenarnya ada tiga tokoh yang mendorong saya untuk terus berkarier di luar negara.
“Pertama, Yang di-Pertuan Agong (Tengku Abdullah), kedua ialah Datuk Paul Mony (Bekas setiausaha agong AFC) dan ketiga, Presiden FAM yang sekarang, Datuk Hamidin. Mereka ini yang sentiasa beri kata-kata semangat dan memotivasi saya.
“Ada juga jurulatih Malaysia seperti Kim Chon, Irfan Bakti, Dato M. Karathu, Hj Abdul Rahman, Chow Kwai Lam, Lim Teong Kim, Moey Yoke Ham, Fisol dan Azman Yusof. Mereka semua pernah melatih di luar negara. Mereka juga adalah inspirasi saya untuk terus melatih di luar negara.
“Dan kalau harus pulang ke Malaysia, saya mempunyai impian untuk melatih JDT. Itu saja,” katanya.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.
Peminat Kecam Tindakan Setiausaha Agung Melaka United Pakai Jersi Liverpool Di Majlis Rasmi
Kuala Lumpur Lanjutkan Kontrak Paulo Josue, Dapatkan Khidmat Romel Morales