Nama Raja Isa Raja Akram Shah mungkin agak asing dalam kalangan peminat bola sepak di Malaysia. Beliau merupakan bekas jurulatih UiTM FC yang kini berhijrah melebarkan sayapnya di Liga Bangladesh.

Sebelum ini, beliau terlibat dalam mengendalikan beberapa kelab Liga Indonesia dan pernah menjadi pembantu jurulatih kepada Irfan Bakti Abu Salim ketika bersama Persipura Jayapura pada tahun 2007.

Raja Isa kini telah menandatangani kontrak selama 1 tahun dengan kelab Muktijoddha Sangsad KC dan merupakan jurulatih pertama dari Malaysia yang mengendalikan kelab Bangladesh.

Segala urusan dokumentasi termasuk Visa dan lain-lain sudah pun dipersiapkan. Beliau dijadualkan berangkat ke Bangladesh pada 27 Disember 2020.

“Benar, saya sudah deal dengan kelab Bangladesh, Muktijoddha Sangsad KC. Saya diikat kontrak selama 1 musim. Saya akan berangkat pada 27 Disember ini,” kata Raja Isa kepada Vocket FC. 

Berdasarkan carian di internet, Muktijoddha Sangsad KC beraksi dalam saingan Liga Premier Bangladesh (BPL) dan turut diperkuatkan oleh bekas pemain import Negeri Sembilan pada musim 2004 hingga 2006 iaitu Christian Bekamenga Bekamengo.

033654500_1489910030-rajaisa
Raja Isa sewaktu mengendalikan kelab Liga Indonesia musim lepas. FOTO: Bola.com/Robby Firly

Musim lepas, Raja Isa menjadi jurulatih kepada PSPS Riau namun keadaan semasa Liga Indonesia yang ditangguhkan hampir setahun menyebabkan beliau mengambil keputusan untuk berhijrah ke tempat baharu.

“Pengurusan PSPS menyokong tindakan saya. Sebab keadaan liga Indonesia sekarang belum jelas. Saya dan pihak pengurusan PSPS tiada ada masalah,” kata jurulatih yang berusia 54 tahun itu.

Raja Isa setakat ini telah mengunjungi semua negara di Asia Tenggara, termasuk negaranya sendiri, Malaysia. Namun, beliau tidak menemui ‘kegilaan’ bola sepak seperti yang terdapat di Indonesia.

Kelab Indonesia walaupun beraksi dalam saingan divisyen 3, masih mempunyai ribuan penyokong yang sangat fanatik.

“Saya sudah lama tinggal di Indonesia dan sudah mengunjungi semua negara di Asia Tenggara. Bagi saya, Liga Indonesia masih yang terbaik di ASEAN. Di sini, masyarakatnya memiliki kegilaan bola sepak, ibarat cinta terhadap bola sepak sudah tumbuh sejak mereka kecil,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan pemain Malaysia di luar negara melalui pautan dibawah. 

RASMI: Fagiano Okayama Umumkan Lanjutan Kontrak, Hadi Fayyadh Kekal Di Jepun Buat Tahun Ke-3

Wan Kuzain Tersenarai Dalam Top 10 Ejen Bebas Saingan USL Championship

Safawi Rasid Akan Kembali Ke Johor Darul Ta’zim Untuk Musim 2021