Pemain pertahanan, Raja Imran Shah Raja Amin menyimpan tekad mahu meletakkan kembali Perak sebagai pasukan yang digeruni selepas berdepan pelbagai cabaran pada musim ini.

Baca Juga:

Bekas Sarawak United FC ini pernah menyaksikan bagaimana Perak sentiasa menjadi sebutan sebelum ini selaku juara Piala Malaysia 2018 dan naib juara Piala FA 2019.

Namun, episod hitam melanda skuad ‘Kejor Yob Kejor’ itu pada pertengahan musim 2021 Perak ekoran masalah kewangan meruncing sehingga menyebabkan sebahagian pemain utama mereka berhijrah.

Kehadiran syarikat telekomunikasi, XOX Berhad yang mengambil alih pasukan pada 29 April 2022 jelas menjadi ‘talian hayat’ buat Perak untuk kembali bangkit daripada kisah sukar dua musim tersebut.

Kini dengan kehadiran Lim Teong Kim membimbing pasukan, beliau mendedahkan mahu memberikan lebih peluang kepada pemain tempatan terutamanya bakat muda untuk mempamerkan bakat berbanding mengambil ramai pemain import.

Sehubungan dengan itu, Raja Imran turut tidak terkecuali berada dalam perancangan pengendali kelahira Melaka itu untuk menjadi nadi kepada kekuatan Perak menghadapi musim 2023.

“Untuk saya, Perak merupakan pasukan yang cukup hebat suatu ketika dahulu tetapi selepas itu pelbagai cabaran mereka hadapi.”

“Tetapi saya percaya, barisan jurulatih dan pengurusan baharu ini memang meletakkan misi untuk Perak kembali bangkit.”

“Cabaran awal-awal itu saya rasa perkara biasa sebab kita tahu ramai pemain muda kali ini tetapi yang penting adalah kami perlu mencari keserasian terlebih dahulu sebelum liga bermula”, katanya.

Perak berjaya mencatatkan kemenangan 4-2 pada aksi persahabatan bertemu kelab Thailand, Young Singh Hatyai di Stadium Perak, kelmarin.