Penjaga gol utama skuad Malaysia bawah 22 tahun (B-22), Muhammad Rahadiazli Rahalim memohon maaf kepada seluruh peminat bola sepak tanah atas dua kesilapan dilakukannya ketika saingan Piala Merlion 2023.

Kecuaian Rahadiazli pada dua perlawanan berturut-turut (bertemu Kemboja dan Hong Kong) jelas mengundang padah apabila penyerang pasukan lawan berjaya menjaringkan gol mudah susulan kesilapan dilakukannya.

Keadaan tersebut jelas mengundang kemarahan para peminat di media sosial yang mengkritik aksi penjaga gol berusia 21 tahun itu.

Sehubungan dengan itu, Rahadiazli yang turut mesra dengan panggilan ‘Abey’ tampil membuat permohonan maaf ekoran kecuaiannya ketika beraksi di Stadium Jalan Besar, Singapura.

“Abey ambil kesempatan ini untuk memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia terutama peminat setia bola sepak negara, rakan-rakan seperjuangan serta barisan kejurulatihan atas kesilapan yang tidak disengajakan dalam dua perlawanan itu.’’

“Abey sedar ianya bukan persembahan terbaik kerana melakukan kesilapan tidak sepatutnya, malah saya sendiri pun turut berasa kecewa dengan persembahan dalam dua perlawanan itu.’’

“Sejujurnya saya dengan hati terbuka tidak kisah menerima kritikan macam mana sekalipun daripada peminat setia bola sepak negara atas kesilapan itu,’’ ujar beliau menurut sumber laporan Harian Metro.

Mengulas mengenai perkara sama, Rahadiazli mengharapkan agar kritikan yang diberikan hanya terarah kepada dirinya dan tidak melibatkan pihak lain.

“Tapi mohon usah babitkan keluarga dan negeri saya berkaitan perkara itu, ini kerana ada segelintir peminat yang tidak boleh menerima kesilapan itu turut mengkritik keluarga dan negeri saya selepas insiden berkenaan berlaku, harap selepas ini tidak berlaku lagi.’’

Pada saingan yang berlangsung di Singapura itu, kecuaian Rahadiazli menyaksikan Lim Pisoth berjaya mengambil peluang tersebut manakala pada aksi final malam tadi, beliau gagal melakukan sepakan walaupun tidak diberikan tekanan pemain lawan sehingga membolehkan Lau Ka Kiu menjaringkan gol.

Namun, Malaysia masih mampu bergelar juara dengan kemenangan 2-1 hasil jaringan Najmudin Akmal dan Safwan Mazlan.

Sumber