Persiapan skuad Harimau Malaya dalam kem latihan pusat sedikit terganggu apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan khidmat penjaga gol tinggi lampai dari Terengganu, Rahadiazli Rahalim tidak dapat digunakan kerana telah disahkan positif COVID-19.

Menurut kenyataan rasmi, berdasarkan ujian PCR yang dijalankan ke atas semua pemain, Rahadiazli menunjukkan beberapa simptom COVID-19 dan terpaksa diketepikan untuk membendung penularan wabak itu.

“Pagi semalam, kesemua pemain dan pegawai telah melakukan ujian RTK yang mana kesemuanya negatif, namun disebabkan Rahadiazli menunjukkan beberapa simptom berkaitan, penjaga gol tersebut telah diarahkan untuk membuat pula ujian PCR pada sebelah petangnya.

“Dengan hanya berbaki empat hari latihan pusat tempatan sebelum skuad Harimau Malaya berlepas ke Singapura pada Selasa, 22 Mac 2022, pengurusan pasukan kebangsaan telah memutuskan untuk tidak memanggil penjaga gol baharu dan mengekalkan tiga penjaga gol sedia ada – Farizal Marlias, Khairulazhan Khalid dan Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi,” tulis kenyataan rasmi.

Ketiadaan Rahadiazli bermakna skuad Harimau Malaya kini mempunyai 28 pemain untuk menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Singapura dan Filipina pada minggu depan.

Minggu lepas, seorang lagi pemain dari JDT iaitu Nazmi Faiz terpaksa digugurkan kerana mengalami kecederaan pangkal paha. Bagaimanapun, ketua jurulatih, Kim Pan-gon tidak bercadang untuk memanggil pemain lain untuk ganti tempat Nazmi.

Skuad Harimau Malaya turun menjalani latihan di Stadium Nasional, Bukit Jalil selama lapan hari sejak Isnin lepas, 14 Mac 2022 sebelum dijadual berlepas ke Singapura pada 22 Mac 2022.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad kebangsaan melalui pautan dibawah.

Kim Pan-gon Minta Semua Pihak Bersabar

RASMI: Elavarasan Jadi Pilihan Kim Pan Gon Sebagai Penolong Jurulatih

Dion Johan Cools Tidak Sabar Beraksi Di Hadapan Penyokong Harimau Malaya

Tengku Amir Harap Skuad Harimau Malaya Raih Banyak Kejayaan Dibawah Kendalian Kim Pan-gon