Skuad Bawah 22 Tahun (B-22) Malaysia gagal mengulangi aksi cemerlang pada perlawanan terdahulu apabila tunduk 0-2 ditangan Thailand pada perlawanan kedua Sukan SEA 2023 yang berlangsung di Stadium Prince, Phnom Penh sebentar tadi.
Perlawanan ini menyaksikan pengendali pasukan, E. Elavarasan meletakkan Syahir Bashah, Fergus Tierney dan T. Saravanan di kesebelasan utama manakala merehatkan Mukhairi Ajmal Mahadi, Aliff Izwan Yuslan serta Haqimi Azim Rosli.
Bertemu lawan yang merupakan pemenang pingat perak edisi lalu, barisan pemain skuad negara dilihat sedikit berdepan kesukaran untuk mempamerkan aksi terbaik.
Pemain Thailand mempamerkan corak permainan lebih teratur dengan kawalan bola baik untuk mendominasi aksi terutamanya pada separuh masa pertama.
T. Saravanan bagaimanapun terlebih dahulu mengancam kubu Thailand yang menyaksikan hantaran lintang cuba dilakukannya terus menuju ke arah pintu gol Thailand. Namun, peluang itu hampa susulan bola yang melewati palang gol pada minit keenam.
Thailand kemudiannya mendapat peluang pada minit ke-29 tetapi Harith Haiqal Adam Akfar pantas melakukan bentesan terhadap percubaan Bukkoree Lemdee dalam kawasan penalti.
Kedudukan tanpa jaringan itu kekal hingga tamat babak pertama dan baki 45 minit berikutnya jelas menjadi episod yang mahu segera dilupakan oleh kem negara.
Tekanan yang diberikan anak buah Ithsara Sritharo kian memuncak pada minit ke-73 apabila Anan Yodsangwal melepasi perangkap ofsaid lalu menewaskan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman untuk membuka tirai jaringan.
Jaringan itu jelas meningkatkan moral pemain Thailand untuk menambah jaringan dan usaha mereka membuahkan hasil berselang 10 minit kemudian.
Ketika situasi yang hampir serupa dengan jaringan pertama, Yotsakon Burapha bijak menggunakan kepantasannya untuk melepasi kawalan pertahanan dan Sikh Izhan bagi mengesahkan kemenangan 2-0 memihak negara ‘Gajah Perang’ itu.