Hasrat peminat bola sepak tempatan untuk melihat aksi bintang Colombia, Radamel Falcao bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Malaysia musim ini tidak menjadi kenyataan.

Baca Juga:

Difahamkan penyerang yang berusia 37 tahun itu telah melanjutkan kontrak semusim lagi bersama kelab La Liga, Rayo Vallecano sekaligus menafikan khabar angin mengenai perpindahan ke JDT.

Sebelum ini, media Colombia, El Deportivo, melaporkan JDT telah menawarkan gaji sebanyak 1 juta dollar semusim (RM4.45 juta) tidak termasuk bonus tambahan untuk mendapatkan khidmat Falcao selepas kontraknya bersama Vallecano sepatutnya berakhir pada 30 Jun lalu.

Media tersebut memetik sumber daripada wartawan Felipe Sierra yang berkata Falcao bakal muktamadkan masa depannya dengan perpindahan ke JDT dalam masa terdekat.

“Johor telah menawarkan Falcao dengan kontrak selama setahun dengan tambahan gaji sebanyak 1 juta dollar semusim. Perjanjian ini termasuk bonus yang akan memberi manfaat kepada pemain kelahiran Santa Marta itu,” katanya.

Bulan lepas, Falcao sempat ke Johor Bharu melawat fasiliti latihan JDT dan turut berjumpa dengan pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ).

Kehadiran bekas penyerang Atletico Madrid itu dikongsikan TMJ menerusi laman sosial rasmi yang sempat menurunkan tandatangan pada jersi Colombia.

Falcao mula beraksi bersama Rayo Vallecano sejak musim 2021 dimana beliau sebelumnya menyarung jersi kelab Turki, Galatasaray selama dua musim.

Beliau pernah beraksi dengan beberapa kelab ternama di Eropah seperti FC Porto, AS Monaco, Manchester United dan Chelsea.

Walaupun impian untuk melihat Falcao beraksi bersama JDT tidak kesampaian, namun ia tidak menjejaskan prestasi juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu.

Skuad kendalian Estabian Solari itu kini berada pada landasan terbaik untuk melengkapkan kejuaraan sedekad yang dipertahankan mereka sejak 2014.