Bekas pemain skuad kebangsaan Belanda, Quincy Anton Promes terus terpalit dengan kontroversi apabila beliau bakal didakwa ekoran kesalahan penyeludupan kokain.

Baca Juga:

Usaha untuk menyeludup dadah dengan berat keseluruhan 1370 kilogram (kg) itu telah digagalkan sebanyak dua kali percubaan yang mana pertama kali seberat 650kg dan kemudiannya 720kg.

Bagaimanapun, kedua-dua cubaan itu berjaya digagalkan oleh pihak berkuasa pada tahun 2020 di pelabuhan Antwerp, Belgium.

Pada ketika itu, Promes yang kini beraksi bersama Spartak Moscow masih di Amsterdam menyarung jersi kelab terkemuka di sana, Ajax.

Menurut sumber laporan dikeluarkan Goal, proses pra-perbicaraan akan diadakan pada 5 Jun nanti dan dijadualkan berlangsung di Belanda.

Sebelum ini, Promes turut pernah pernah dibawa ke mahkamah atas tuduhan cubaan untuk membunuh sepupunya sendiri, juga pada tahun 2020.

Hal ini kerana beliau dikatakan telah menikam lutut salah seorang sepupunya dalam satu acara keluarga mereka.

Malah lebih sukar buat Promes apabila bahagian terakhir dalam kes tersebut juga akan turut didengari pada Isnin nanti.

Difahamkan, pihak pendakwa raya telah menuntut hukuman dua tahun dikenakan terhadap Promes sekiranya didapati bersalah.

Selain beraksi bersama Spartak Moscow dan Ajax. Quincy Promes turut pernah mewakili Sevilla dan FC Twente dengan menjaringkan 186 gol sepanjang kariernya di peringkat domestik.

Manakala beliau yang kini berusia 31 tahun telah membuat 50 penampilan bersama skuad kebangsaan Belanda.

 

Sumber