Arsenal terlepas peluang untuk mengesahkan dengan lebih awal kedudukan selaku juara kumpulan A Liga Europa (UEL) 2022/23 apabila tunduk 0-2 ditangan PSV Eindhoven, awal pagi tadi.

Baca Juga:

Ia bukan sahaja menjadi kekalahan sulung serta turut meleburkan rekod cemerlang empat kemenangan dilakarkan The Gunners dalam kempen tersebut, malah buat pertama kalinya anak buah Mikel Arteta itu gagal menjaringkan sebarang gol selepas mengharungi 16 perlawanan.

Berkunjung ke Phillips Stadion, Arsenal jelas tidak berdepan masalah untuk menguasai sebahagian besar permainan tetapi hanya tiga serangan tepat ke arah pintu gol tuan rumah dapat dijelmakan.

Sebaliknya, PSV lebih berbahaya pada babak kedua dan jentera serangan mereka lebih bijak untuk menyempurnakan peluang terhidang menerusi Joey Veerman dan penyerang gantian, Luuk De Jong.

Skuad kendalian Ruud Van Nistelrooy itu hampir berada dihadapan pada minit ke-18 tetapi ketua pasukan, Cody Gakpo yang sudah berjaya menewaskan Aaron Ramsdale berada dalam kedudukan ofsaid.

Memasuki minit ke-42 giliran Xavi Simons pula membolosi gawang Arsenal. Namun, rujukan Video Assistant Referee (VAR) mengesan Anwar El Ghazi yang melakukan dadaan untuk memberikan bola kepada penyerang tersebut turut dikesan ofsaid.

Kehampaan itu ditebus Veerman pada minit ke-55 apabila beliau yang menerima lorongan baik De Jong tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan peluang terhidang bagi meletakkan PSV dihadapan.

Kegagalan Ramsdale untuk menumbuk bola selepas beliau keluar bagi menyelamatkan keadaan susulan sepakan penjuru memberikan ruang buat De Jong untuk menanduk masuk bola bagi gol PSV pada minit ke-63.

Kekalahan tersebut bagaimanapun masih tidak mengganggu kedudukan Arsenal ditangga teratas kumpulan dengan 12 mata, berkelebihan dua mata dihadapan PSV.

Arsenal akan berdepan FC Zurich pada aksi terakhir 4 November nanti manakala PSV pula bakal berkunjung ke Norway untuk bertemu FK Bodo/Glimt.