Kehadiran bomoh atau dikenali sebagai Pawang di Stadium Gelora Bung Karno sebelum aksi persahabatan antarabangsa antara Indonesia menentang Argentina semalam telah mencuri tumpuan peminat.
Baca Juga:
- Perlawanan Persahabatan: Argentina Tundukkan Indonesia 2-0
- Ketum PSSI Janji Beri Bonus Jika Indonesia Seri Lawan Argentina
- Ini Harga Yang Perlu Dibayar PSSI Untuk Menentang Argentina
Hujan turun di kawasan tersebut 2 jam sebelum perlawanan bermula namun bomoh wanita yang bernama Rara Pawang alias Raden Rara Istiati Wulandari didapati berada di tepi padang untuk melakukan ritual ‘tolak hujan’ bagi memastikan segalanya berjalan lancar.
Tindakan bomoh tersebut mengundang pelbagai kritikan dan persoalan dalam kalangan peminat yang berpendapat Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) mungkin mengupahnya untuk membantu menghentikan hujan.
Bagiamanapun, EXCO PSSI, Arya Sinulingga menafikan pihaknya telah menyewa bomoh itu dan membawa masuk ke dalam stadium bagi melakukan ritual.
“Tidak lah (sewa pawang hujan). Ini kejadian alam, hujan turun sebelum perlawanan. Semoga nanti keadaannya lebih bagus,” kata Arya dipetik dalam bola.net.
Sebelum ini, bomoh tersebut pernah muncul di acara MotoGP Mandalika tahun lepas sehingga menjadi sebutan masyarakat di seluruh dunia.
Ketika cuaca buruk melambatkan permulaan MotoGP Mandalika, pihak penganjur terpaksa memanggil Raden Rara (bomoh hujan) bagi memberhentikan hujan di litar Mandalika.
Memetik laporan Kompas, difahamkan bahawa Raden Rara telah dibayar dengan harga yang tinggi oleh pihak penganjur. Dia yang ditemubual di sekitar kawasan Litar Antarabangsa Mandalika tidak teragak-agak untuk berkongsi bayaran yang diperoleh oleh beliau sepanjang acara MotoGP berlangsung di Indonesia.
Bomoh itu mendedahkan bahawa dia dibayar sebanyak Rp 5 juta (RM1,500) sehari. Rara Istiani yang sudah bekerja selama 21 hari untuk acara perlumbaan motosikal dunia memperoleh sebanyak Rp 105 juta (RM30,000) sepanjang acara perlumbaan dunia itu berlangsung.
Dia berkata bayaran ini setimpal kerana dia diminta untuk bekerja tidak kira siang mahupun malam.