Tonggak tengah Persija Jakarta, Marc Klok dari Belanda menjadi calon terbaharu untuk dinaturalisasikan bagi memperkuatkan jentera tengah skuad kebangsaan Indonesia.

Proses naturalisasi pemain yang berusia 26 tahun itu telah memasuki peringkat akhir serta turut mendapat sokongan daripada Kementerian Belia dan Sukan Indonesia (KEMENPORA) namun ia terpaksa ditangguhkan susulan penularan wabak pandemik COVID-19.

Perkembangan itu diakui oleh Klok dalam satu temubual khas dengan bekas pemain import PKNS FC, Hamka Hamzah melalui laman YouTube.

“Ya, sekarang ada corona, orang tidak kerja di pejabat. Tapi saya fikir kalau virus corona ini selesai, proses naturalisasi juga selesai kerana sudah masuk peringkat akhir. Prosesnya lama,” katanya dalam laman YouTube Hamka Story 23.

Gelandang PSM Makassar, Marc Klok. (Foto: The AFC).
(Foto: The AFC).

Klok sudah beraksi dalam saingan Liga Indonesia sejak tahun 2017 dan pernah membantu PSM Makassar muncul sebagai naib juara Liga 1 pada tahun 2018 dan juara Piala Indonesia pada tahun lepas.

Jika proses naturalisasinya berjaya diselesaikan, beliau kemungkinan akan dipanggil untuk memperkuatkan Indonesia dibawah kendalian Shin Tae Yong dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang akan datang.

Beliau tekad membantu Indonesia memenangi sekurang-kurangnya satu piala.

“Pertama, saya harus naturalisasi. Kedua, saya perlu bermain lebih bagus dalam setiap pertandingan untuk mendapat tempat dalam skuad kebangsaan. Saya fokus itu dulu.

“Ketiga, saya masuk ke timnas Indonesia, saya mahu menang piala kerana selalu begitu ya, disiplin saya, saya selalu mahu tampilkan dengan prestasi yang tinggi.

“Jadi, kalau saya main di timnas, saya mahu pastikan kemenangan berpihak kepada pasukan kerana sudah lama Indonesia tidak menang piala. Saya mahu cuba untuk itu,” tambahnya.

7c4bf50b_cover-marc
Marc Klok

Klok juga sebelum ini pernah mendapat panggilan untuk menyertai skuad kebangsaan Indonesia ketika dibawah kendalian Simon McMenemy. Namun, beliau tidak sempat melakukan penampilan pertama kerana proses naturalisasinya masih belum selesai.

Selain Marc Klok, Indonesia kini sudah mempunyai lima pemain naturalisasi dalam skuad kebangsaan iaitu Otavio Dutra, Greg Nwokolo, Osas Saha, Alberto Goncalves dan seorang pemain yang pernah beraksi dalam Liga Thailand bersama kelab PTT Rayong iaitu Victor Igbonefo.

Lihat artikel lain mengenai perkembangan pemain naturalisasi sekitar negara Asia.

Bekas Penyerang Felda United, Thiago Augusto Kini Merupakan Pemain Naturalisasi Bahrain

UAE Sah Naturalisasi Penyerang Dari Argentina, Kini Muncul Penjaring Liga UAE Ke-2 Terbanyak Sepanjang Zaman

Pemain Naturalisasi Liga Vietnam Ini Dipenjara 16 Tahun Selepas Bersalah ‘Scam’ Perempuan Tempatan