Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) baru-baru ini mengumumkan bahawa mereka memecat pengendali dari Jepun, Akira Nishino dari tugas sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan negara itu.
Keputusan ini diambil setelah Thailand gagal untuk melayakkan diri ke peringkat kelayakan pusingan ketiga Piala Dunia 2022, seperti yang disasarkan oleh FAT ketika melantik Nishino pada 2019 lalu.
Jurulatih berusia 66 tahun itu mula dilantik sebagai ketua jurulatih pada 19 Julai 2019 dimana beliau menandatangani kontrak selama dua tahun dan menerima gaji sebanyak ฿30 Juta setahun atau RM3.8 Juta, menjadikan Nishino sebagai ketua jurulatih yang menerima gaji tertinggi dalam sejarah.
Media Thailand menganggap prestasi Nishino dalam perlawanan kompetitif sebagai ‘biasa-biasa sahaja’ dimana beliau mencatat tiga seri, dua kemenangan dan dua kekalahan dalam saingan kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Bersama skuad B-23 tahun pula, Nishino gagal untuk melayakkan diri ke peringkat separuh akhir temasya Sukan SEA 2019 namun beliau berjaya membawa Thailand ke peringkat suku akhir dalam saingan AFC B-23 pada 2020 yang berlangsung di laman sendiri.
Sampai saat ini, FAT masih belum mengumumkan pengganti kepada Nishiho bagi mengendalikan skuad senior dan juga skuad B-23 tahun Thailand.
Sebelum ini, pemain bintang iaitu Chanathip Songkrasin menasihatkan agar ketua jurulatih tempatan diberikan peluang untuk mengendalikan pasukan kebangsaan.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia di sini:
Kelantan United Hantar Pulang Dua Pemain Terlibat Insiden Pergaduhan
TERKINI: Akira Nishino Dipecat Oleh FA Thailand, Gagal Capai ‘Target’ 12 Pasukan Terbaik WCQ Asia
Korea Utara Tarik Diri Daripada Piala Asia B-23, AFC Terpaksa Buat Undian Semula