Aksi panas melibatkan pertembungan dua gergasi Liga Primera Portugal, FC Porto dan Sporting CP semalam bukan sahaja panas di dalam padang tetapi ia turut melibatkan kontroversi luar padang.

Perlawanan di Estadio do Dragao itu menyaksikan kedua-dua pasukan terikat dengan kedudukan 2-2 dimana empat pemain telah diperintahkan keluar padang pada lewat masa kecederaan susulan pergaduhan besar yang berlaku.

Sebelum itu, Sporting terpaksa bermain dengan 10 orang pemain sejak minit ke-49 apabila pemain pertahanan, Sebastian Coates turut dilayangkan kad merah apabila menerima kad kuning kedua berikutan kekasaran dilakukannya.

Dengan lima kad merah serta pergaduhan yang tercetus jelas membuatkan keadaan bertambah tegang di luar padang apabila Presiden Sporting, Frederico Varandas mendakwa terdapat pegawai pasukan tuan rumah melakukan kekasaran serta mencuri barangan kepunyaan beliau.

Perkara itu disahkan oleh Sporting CP menerusi satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan laman sesawang rasmi kelab tangga kedua saingan Liga Primera Portugal tersebut.

“Sporting CP memaklumkan bahawa presiden Frederico Varandas semalam telah menjadi sasaran serangan secara lisan dan cubaan untuk mengasari fizikalnya oleh Vitor Baia [Naib Presiden dan Pegawai Pentadbiran FC Porto], Sergio Conceicao [Pengurus Pasukan] dan Rui Cerqueira [Pengarah Akhbar Kelab].”

“Ketika Varandas menuju ke bas pasukan, ketiga-tiga mereka yang dikekelingi oleh beberapa pengawal keselematan, sedang menunggunya [Varandas]. Kemudiannya, Rui Cerqueira dengan kasar telah menolak presiden, mengambil dompetnya bersama-sama telefon bimbit, kad pengenalan dan kad kredit, kemudiannya dia melarikan diri.”

“Walaupun terdapat polis di tempat kejadian, telefon bimbit dan dokumen-dokumen tersebut tidak dapat ditemui.”

“Sporting CP akan memfailkan aduan jenayah terhadap Vitor Baia, Sergio Conceicao dan Rui Cerqueira. Dan juga akan melakukan segala upaya untuk memastikan bahawa sikap kasar daripada tindakan ini dilarang dari sebarang venue sukan.”

“Apa yang terjadi semalam, di dalam dan luar padang terlalu serius untuk tidak mengambil sebarang tindakan.”

Sehingga ke hari ini, FC Porto masih lagi belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden pada perlawanan ke-22 saingan liga itu.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia:

AFF B-23: Senarai Akhir Diumumkan, Shafi Azswad Ganti Fahmi Daniel

Chelsea Juara Dunia! Melengkapkan Kesemua Koleksi Piala Pada Era Abramovich

TRW Kelantan Mohon Tarik Diri Dari Kejohanan Piala Belia 2022, Faktor Kewangan Jadi Punca Utama

Sumber