Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT), Leftenan Kolonel Dr Somyot Poomphanmuang semalam secara terbuka mengumumkan sumbangan bonus peribadi beliau kepada skuad kebangsaan Thailand bernilai THB10 juta atau sekitar RM1.25 juta.
Bonus itu merupakan tambahan kepada bonus sedia ada yang telah dijanjikan oleh pengurus pasukan kebangsaan Thailand, Nualphan Lamsam yang turut menjanjikan bonus THB20 juta jika muncul juara Piala AFF 2020.
Berbeza dengan bonus yang dijanjikan oleh Presiden FAT, dimana jumlah THB10 juta itu akan dibayar jika skuad bimbingan Mano Polking berjaya menumpaskan juara bertahan iaitu pasukan Vietnam dan mara ke perlawanan akhir.
Memetik kemaskini laman sosial Facebook rasmi FA Thailand semalam, Leftenan Kolonel Dr Somyot Poomphanmuang menyatakan bahawa sumbangan itu sebagai pemangkin semangat skuad Thailand untuk mencapai kecemerlangan dalam kejohanan di Singapura itu.
“Pertama sekali, saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua pemain, jurulatih dan kakitangan. Pasukan kita yang sangat berdedikasi, bekerja keras di bawah pelbagai sekatan sukar sehingga berjaya membawa pasukan ke separuh akhir.”
“Sejak 2-3 tahun lalu, saya perlu mengakui bahawa pasukan kebangsaan Vietnam berada ditahap permainan yang lebih baik dan sentiasa bersaing dengan pasukan kebangsaan Thailand. Pertemuan di separuh akhir ini adalah satu perlawanan yang sangat penting dan bermakna untuk peminat bola sepak Thailand. Ia adalah perlawanan yang dinantikan oleh peminat bola sepak Thailand dan juga ASEAN.”
“Sebagai presiden persatuan, dengan sumbangan peribadi THB10 juta ini untuk menaikkan semangat para pemain, jurulatih dan staf sokongan untuk berjaya mara ke perlawanan akhir.”
“Semoga semua pemain dan staf kejurulatihan berjaya mencapai sasaran mereka dan mengembalikan kemenangan bagi menggembirakan peminat bola sepak Thailand, sebagai hadiah untuk tahun baru 2022. Selamat maju jaya untuk semua.”
Sekiranya Thailand muncul juara Piala AFF 2020 ini, mereka akan turut menerima hadiah wang tunai kemenangan sebanyak USD300,000 atau sekitar THB10 juta.
Ini bermakna THB40 juta atau sekitar RM5 juta bakal menjadi habuan pemain Thailand jika menjulang kejuaraan Piala AFF 2020 secara keseluruhannya.
Baca juga artikel-artikel lain yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah.
Teamtalk Shin Tae-yong Ini Dedahkan 4 Kelemahan Utama Skuad Malaysia Ketika Bertemu Indonesia
Chanathip Songkrasin Muat Naik IG Story ‘Swap’ Jersi Dengan Safawi Rasid, Ucap Semoga Cepat Sembuh
Mano Pölking Berterus-Terang 3 Sebab Kenapa Thailand Turunkan ‘Skuad Simpanan’ Berdepan Singapura