Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) tiada masalah untuk menewaskan kelab divisyen 2 UAE, Fursan Hispania 3-0 dalam aksi pra musim ketiga yang berlangsung di Stadium The Sevens, Dubai.

Baca Juga:

Ini adalah kemenangan kedua mereka dalam perlawanan persahabatan selepas mendahului 1-0 ketika menentang kelab Bulgaria, FC Levski Sofia sebelum ditamatkan lebih awal akibat pergaduhan.

Fursan Hispania merupakan kelab yang berasal daripada projek bekas pemain Real Madrid, Michel Salgado dan kini menghuni kedudukan tercorot dalam saingan liga divisyen 2 UAE selepas mengharungi 18 perlawanan.

Dalam perlawanan menentang Fursan Hispania, JDT menurunkan barisan pemain yang berbeza dan mempertaruhkan dua tonggak import baharu, Juan Muniz dan Oscar Arribas.

Manakala bahagian serangan diketuai oleh Bergson Da Silva berganding dengan Diogo Luis Santo. Malah, pemain muda Harimau Selatan iaitu Feroz Baharudin turut disenaraikan dalam kesebelasan utama untuk berganding bersama Jordi Amat di posisi pertahanan.

Berdasarkan statistik yang dikongsi oleh laman sosial Johor Southern Tigers (JST),  skuad kendalian Esteban Solari itu memiliki penguasaan bola sebanyak 56 peratus berbanding Fursan Hispania (44 peratus).

Selain itu, JDT juga telah melakukan 13 percubaan ke pintu gol lawan dan memiliki 6 sepakan penjuru. Mereka juga telah melakukan ‘foul’ sebanyak 14 kali dan mengutip 2 kad kuning berbanding pasukan lawan yang tiada sebarang kad.

Bagaimanapun, nama penjaring gol tidak didedahkan oleh JST atas sebab-sebab tertentu. Ini adalah aksi pemanas badan terbaik untuk meningkatkan moral mereka sambil mengukuhkan lagi tahap keserasian antara pemain.

Selepas ini, JDT bakal menentang dua gergasi Rusia iaitu FC Lokomotiv Moscow (2 Februari) serta FC Zenit ST. Petersburg (6 Februari). Ini adalah perlawanan menarik yang pasti ditunggu-tunggukan oleh para peminat bola sepak tempatan.

JDT akan memulakan kempen Liga Malaysia 2023 bertemu dengan naib juara Liga Super 2022, Terengganu FC untuk aksi Piala Sumbangsih yang akan dikira sebagai aksi pertama Liga Super buat kedua-dua pasukan.

Perlawanan akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 24 Februari depan.