Pasukan Petaling Jaya City (PJ City) sah tidak beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim depan apabila Presiden kelab itu, Datuk Seri Subahan Kamal mengumumkan tidak akan bertanding lagi.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan penarikan diri pasukan itu tiada kaitan dengan masalah kewangan kerana PJ City tidak mempunyai sebarang hutang atau tunggakan gaji.
Punca sebenarnya adalah mereka tidak mampu menyesuaikan diri dengan penstrukturan Liga Malaysia untuk musim depan seperti mana diumumkan oleh Malaysia Football League (MFL) sebelum ini.
Dengan menggunakan pemain tempatan sepenuhnya, mereka merasakan tidak mampu bersaing dengan pasukan yang mempunyai 9 pemain import .
“Melihat pada perubahan yang akan dibuat dalam saingan liga musim depan, sukar untuk kami mengambil bahagian. Bayangkan musim ini dengan 5 pemain import pun kami sudah bergelut, inikan pula musim depan dimana bilangannya akan bertambah.
“Ada juga perkara lain yang kami fikir tak sesuai dan luar kemampuan kelab (PJ City). Jangan salah faham, kami hormat keputusan yang dibuat MFL kerana saya fikir mereka tahu apa yang terbaik untuk bola sepak Malaysia.
“Cuma kami tak mampu menyesuaikan diri dengan keadaan itu,” jelas Subahan Kamal dalam sidang media.
Presiden PJ City, Datuk Seri Subahan Kamal mengesahkan bahawa pasukan yang menggunakan khidmat pemain tempatan 100% itu tidak akan ambil bahagian dalam Liga Super 2023 @ASTROARENA pic.twitter.com/epRCxuhcrZ
— Syakirah Zulkifly (@SykrhZlkfly) November 11, 2022
Selama dua musim, PJ City beraksi tanpa kelibat pemain import untuk memberi peluang kepada bakat tempatan membuktikan kemampuan mereka dalam saingan Liga Malaysia. Hasilnya, 4 pemain itu Kalamullah Al Hafiz, Ruventhiran, Darren Lok dan Kogileswaran mendapat panggilan menyertai skuad kebangsaan.
Sejak minggu lalu, para pemain PJ City diarahkan mencari pasukan lain untuk musim depan kerana hala tuju kelab tersebut masih belum ditentukan ketika ini.
Namun begitu, Subahan menjelaskan mereka sedia menyerahkan kelab itu kepada pemilik baharu yang berminat dengan syarat mengekalkan nama PJ City.
“Kita terbuka kepada mana-mana pihak yang mahu mengambil alih kelab ini. Kalau ada yang berminat, mereka boleh berhubung dengan CEO (S Ganesh) untuk berbincang.
“Selepas itu, kita akan bawa kepada MFL untuk tindakan lanjut. Ada beberapa syarat yang kami letakkan kepada mereka yang mahu mengambil alih kelab ini,” tambahnya.
Ketiadaan PJ City menyaksikan mereka mengikut jejak langkah Felda United, Sime Darby, MK Land, Public Bank and UPB-MyTeam yang telah manarik diri daripada Liga Malaysia beberapa tahun lalu.