Pengorbanan yang cukup besar telah dilakukan oleh Khalid Abdul Samad selaku Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KL City FC, Stanley Bernard Stephen Samuel dalam usaha mereka menyelesaikan masalah tunggakan gaji kelab tersebut.

Baca Juga:

Enggan mengambil sikap lepas tangan membiarkan para pemain terus berada dalam keadaan tertekan tanpa menerima gaji, dua individu penting itu difahamkan telah membuat pinjaman peribadi bernilai ratusan ribu ringgit.

Pendedahan itu dibuat Khalid dalam satu sidang media khas yang diadakan pagi tadi di Tingkat 1 Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

Dengan suntikan sumber kewangan yang tidak menentu, bekas Menteri Wilayah Persekutuan tersebut turut menjelaskan bahawa tunggakan gaji akan diselesaikan dengan kaedah pembayaran peringkat demi peringkat.

“Saya ambil pinjaman peribadi dalam RM300,000, saya rasa Stanley pun lebih kurang begitu juga. Kita anggap pinjaman yang dilakukan ini sebagai komitmen kami di sini bukan untuk pegang jawatan semata-mata,” ujar Khalid menurut sumber laporan BH Online.

“Kita juga ada mendapat tajaan-tajaan tertentu termasuk daripada syarikat yang kecil dengan jumlah RM50,000. Ini sedikit sebanyak dapat menampung urusan pembayaran gaji pemain yang menelan perbelanjaan sehingga RM1.2 juta sebulan.

“Kita komited untuk memastikan gaji pemain dibayar dan tidak tertunggak lebih dua bulan.”

“Ada beberapa pemain yang gaji bulan Ogos belum dibayar tetapi kita akan selesaikan selewat-lewatnya malam esok. Jadi hanya tinggal gaji September tetapi kita akan jelaskan pada 7 November ini.

“Apa yang kita dapat, itulah yang kita ada kerana duit tidak masuk selonggok. Ia datang daripada pelbagai sumber dan tidak dikoordinasi. Jadi kita buat susunan untuk bayar kumpulan demi kumpulan,” tambah beliau lagi.

KL City kini berada ditangga ketujuh Liga Super 2023 dengan 31 mata dan kini sedang memburu slot ke final Piala Malaysia 2023 yang menyaksikan skuad kendalian Nenad Bacina itu akan menghadapi Terengganu pada aksi separuh akhir kedua esok.

Aksi pertama di Gong Badak tempoh hari menyaksikan KL City tewas 1-2.

Sumber