Skuad Malaysia bawah 22 tahun (B-22) kendalian E.Elavarasan bakal menyertai kejohanan empat penjuru Piala Merlion anjuran Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) yang diadakan buat kali pertama sejak 2019 pada 24 hingga 26 Mac 2023.
Baca Juga:
- Sukan SEA 2023: Khidmat Luqman Hakim Ditagih Elavarasan
- Mukhairi Ajmal Dilantik Sebagai Kapten Skuad Malaysia B-22
- Youth Football Malaysia Senaraikan Enam Pemain Penting Bagi Skuad B-22 Tahun Negara
Selain Malaysia dan tuan rumah, Singapura, dua lagi pasukan yang turut menyertai kejohanan tersebut ialah Kemboja dan Hong Kon melibatkan pemain bawah umur 22 tahun.
Berdasarkan undian rasmi yang berlangsung semalam, Malaysia diundi bertemu tuan rumah Sukan SEA 2023, Kemboja manakala Singapura akan menentang Hong Kong.
Skuad negara dijadualkan bertemu Kemboja pada 24 Mac pada pukul 5.00 petang di Stadium Jalan Besar.
Pasukan yang tewas akan beraksi dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat manakala dua pasukan yang menang bakal berentap di perlawanan akhir untuk penentuan sebagai juara.
Berdasarkan rekod, skuad Singapura kendalian Fandi Ahmad menjuarai Piala Merlion pada tahun 2019 yang menampilkan pasukan Thailand, Indonesia dan Filipina.
Skuad Singa Muda itu menewaskan Thailand 1-0 dalam perlawanan akhir dengan Ikhsan Fandi menjaringkan gol kemenangan.
Kejohanan ini menjadi medan untuk pasukan negara membuat persiapan awal bagi menghadapi Sukan SEA di Kemboja pada Mei nanti.
Difahamkan, peraturan pertandingan bola sepak Sukan SEA 2023 telah menggunakan format umur iaitu bawah 22 tahun sahaja dibenarkan bermain termasuk dua kuota pemain lebih umur dalam kejohanan serantau tersebut.
Peraturan tersebut pastinya akan memberikan ruang kepada ramai pemain muda lain untuk diberikan peluang membarisi skuad negara pada edisi kali ini.
Selain itu, mereka juga akan menghadapi kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun 2024 pada September dan Sukan Asia di Hangzhou dari 23 September hingga 8 Oktober.