Walaupun mempunyai tempoh persiapan yang singkat namun skuad Malaysia bawah 22 tahun (Malaysia B-22) cukup bersemangat menghadapi saingan Sukan SEA 2023 di Kemboja.
Baca Juga:
- Elavarasan Tekad Bawa Skuad Malaysia B-22 Mara Ke Final Sukan SEA
- Malaysia B-22 Muncul Juara Piala Merlion 2023
- Safee Sali: Jangan Letak Harapan Terlalu Tinggi Buat Skuad Muda Di Sukan SEA
Pasukan kendalian E. Elavarasan itu hanya mempunyai tempoh selama 3 hari membuat persiapan terakhir berdepan Laos untuk aksi pertama peringkat kumpulan B pada hari rabu ini.
Menurut E. Elavarasan, pemainnya sudah memahami falsafah dan corak permainan yang diterapkan kerana sudah mengadakan tiga sesi latihan pusat yang berlangsung beberapa bulan lalu.
Katanya, tempoh berkenaan sebenarnya cukup untuk menyuntik falsafah permainan diinginkan dan pasukan dilihat bersedia mengharungi cabaran sukar di saingan itu.
“Cara kita buat tahun ini lain sikit sebab kita ada kem pertama, kem kedua dan kem ketiga.
“Walaupun lewat dia (pemain dikumpulkan) sampai, tapi dia tahu matlamat kita, modul kita, jadi untuk saya bukan isu lewat sampai ke apa.
“Bagi saya, kita dah buat banyak latihan dan tunjuk ajar untuk pasukan yang kita panggil sekarang,” katanya dipetik dalam Harian Metro.
Selepas menentang Laos, Malaysia dijadualkan bertemu menentang Thailand B-22 (6 Mei 2023), Vietnam B-22 (8 Mei 2023) sebelum menutup saingan peringkat kumpulan bertemu Singapura B-22 pada 11 Mei 2023.
“Fokus utama kita perlu melakukan yang terbaik, mudah saja bukan kecergasan ke apa…sebab tiga hari buat persediaan dan terus terbang ke Kemboja (esok).
“Lepas itu pada 3 Mei kita sudah sedia untuk aksi pertama, sebelum main lagi pada 6, 8 dan 11 Mei, sebelum ke separuh akhir dan final pada 13 dan 16 Mei,” katanya.
Elavarasan juga tekad bawa skuad muda negara mara ke final Sukan SEA 2023 kerana ia adalah sasaran yang realistik untuk dicapai.
Ia sekali gus mahu memperbaiki kedudukan keempat yang diraih skuad negara pada aksi di Vietnam, tahun lalu dimana Malaysia tunduk kepada Indonesia menerusi penentuan sepakan penalti dalam perebutan pingat gangsa.
“Saya merasakan layak ke perlawanan akhir adalah sangat penting bagi kami. Pemain dan jurulatih juga sangat bermotivasi untuk mencapainya,” jelas Elavarasan.