Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora mengingati pemainnya agar tidak memandang mudah terhadap cabaran PKNP FC apabila bakal bertemu mereka di Stadium Manjung malam ini untuk aksi peringkat kumpulan Piala Malaysia.

Ini adalah perlawanan pertama mereka di tempat lawan dalam saingan Piala Malaysia musim ini dan Mora menjangkakan saingan akan berlangsung dengan sengit selepas skuad kendalian Abu Bakar Fadzim sudah mula menemui sentuhan kemenangan selepas menewaskan UiTM FC 2-0 pada aksi 8 Ogos lalu.

“Kenapa saya kata ia perlawanan sukar? Kerana pada aksi Liga Super, kami terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 dan saya lihat PKNP FC memiliki barisan pemain yang cukup berkualiti dan mampu beri tentangan sengit kepada JDT.

“Mereka kerap menggunakan corak permainan fizikal dan gemar beraksi secara serangan balas pantas, kami harus berwaspada kerana jika kita buat kesilapan maka mudah untuk mereka menghukum,” katanya dalam Berita Harian

68643150_1415188188644476_236998722049802240_o
FOTO: JST

Bagaimanapun, Mora mengakui lega apabila semua pemainnya bebas daripada kecederaan dan membayangkan akan menurunkan barisan terbaik dalam usaha untuk meneruskan rentak kemenangan.

“Semua pemain berada dalam tahap kecergasan terbaik dan mereka juga tampak begitu konsisten menjalani latihan sebelum bergerak ke Perak dan saya percaya pemain sudah sedia berdepan PKNP FC,” katanya.

JDT kini berada di kedudukan teratas dalam kumpulan B dengan selepas mencatat dua kemenangan ke atas UiTM FC (3-1) dan Petaling Jaya City (4-2). Kemenangan ke atas PKNP FC akan mencerahkan peluang mereka untuk mara ke suku akhir Piala Malaysia 2019.

Sumber