Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) membawa pulang bekalan selesa selepas menewaskan Negeri Sembilan 3-0 pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2023 yang berlangsung di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi sebentar tadi.

Kemenangan hasil gol pembukaan Arif Aiman Mohd Hanapi serta dua jaringan Bergson da Silva menyaksikan misi JDT untuk menyapu bersih tiga piala berada dilandasan tepat.

Bergson mendapat peluang untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-15 tetapi rembatannya dalam kawasan penalti diselamatkan penjaga gol Negeri Sembilan, Firdaus Irman Mohd Fadhil.

Kehampaan Bergson itu ditebus Arif yang meletakkan JDT dihadapan apabila Firdaus gagal menghalang ledakan padu pada minit ke-20.

Firdaus jelas menjadi masalah buat Bergson selepas penjaga gol muda itu menafikan dua rembatan jarak dekat pemain import kelahiran Brazil tersebut di minit ke-22 dan 25.

JDT kemudiannya dihadiahkan sepakan penalti selepas ketua pasukan Negeri Sembilan, Nasrullah Haniff Johan menjatuhkan Bergson.

Bergson yang mengambil sepakan tersebut tidak berdepan masalah untuk menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-31.

Negeri Sembilan cuba untuk bangkit dengan beberapa percubaan terutamanya menerusi Barathkumar Ramaloo dan Filemon Anyie tetapi penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi lebih bersedia menafikan percubaan tersebut.

Corak permainan lebih menarik dapat disaksikan pada babak kedua-dua pasukan saling mengancam kubu lawan.

Namun tambahan jaringan hanya dapat disaksikan pada masa kecederaan dimana Bergson sekali lagi menemui sentuhan untuk aksi berakhir 3-0 memihak JDT.

Aksi suku akhir Piala Malaysia 2023 melibatkan kedua-dua pasukan bakal berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 23 September nanti.

JDT muncul juara Piala Malaysia edisi 2022 selepas berjaya menundukkan Selangor 2-1 hasil jaringan Bergson da Silva dan Fernando Forestieri yang memadamkan kelebihan awal dicipta Herlison Caion.