Johor Darul Ta’zim (JDT) tampil dengan cukup garang pada awal permainan untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir TM Piala Malaysia 2021 apabila berjaya menundukkan Terengganu FC 3-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, sebentar tadi.
Kejayaan mutlak di hadapan penyokong sendiri itu menyaksikan skuad Harimau Selatan tersebut mencatatkan kemenangan 4-1 secara agregat selepas kedua-dua pasukan terikat pada aksi pertama.
Penyerang berbisa tuan rumah, Bergson Da Silva hanya memerlukan tujuh minit untuk membuka tirai jaringan apabila rembatan padu diledakkannya dari luar kawasan penalti tidak mampu dihalang penjaga gol Terengganu, Suhaimi Husin.
Hanya berselang empat minit kemudian, giliran Gonzalo Cabrera pula meletakkan nama selaku penjaring setelah beliau yang tidak dikawal dalam kawasan penalti dalam situasi kelam-kabut di hadapan gol mudah menolak masuk gol kedua.
Tidak cukup dengan dengan dua jaringan tersebut, Bergson menambah gol ketiga pada minit ke-15 susulan kegagalan Dechi Marchel mengawal bola di kawasan sendiri bagi membolehkan Afiq Fazail mendapatkan penguasaan lalu memberikan peluang buat penyerang kelahiran Brazil itu untuk menghasilkan jaringan kedua peribadinya pada perlawanan ini.
Seminit kemudian, malang menimpa JDT yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Safiq Rahim diperintahkan keluar padang selepas beliau melakukan tindak balas terhadap Faisal Halim.
Keadaan itu memberikan ruang yang cukup besar buat skuad pelawat untuk mencipta beberapa peluang berbahaya ke kubu JDT tetapi ketumpulan penyudah jelas menjadi masalah buat Terengganu.
Farizal Marlias juga cemerlang dalam menafikan dua percubaan daripada Habib Haroon dan Nik Akif Syahiran Nik Mat manakala Jordan Mintah sudah pasti menyalahkan dirinya sendiri apabila beliau tidak mampu menolak masuk bola ketika gawang JDT sudah pun terbuka luas.
Aksi babak kedua juga masih tidak mampu digunakan sepenuhnya oleh Terengganu yang masih gagal untuk mendapatkan jaringan diharapkan sekali gus menyaksikan JDT menempah slot ke perlawanan akhir pada Selasa depan.