Pemangku ketua jurulatih Selangor TOT United, Faris Sidek mengharapkan anak buahnya dapat melakar kejutan keatas pasukan gergasi tanah air, Selangor MAC pada pertemuan separuh akhir kedua Piala Futsal Malaysia 2022 yang bakal berlangsung Ahad ini.
Perlawanan di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam itu pastinya bakal menjanjikan aksi sengit ditampilkan selepas kedua-dua pasukan terikat 6-6 pada separuh akhir pertama, minggu lalu.
Malah sekiranya diimbau kembali perlawanan tersebut, barisan pemain Selangor TOT United yang diketuai Hazizi Mansor jelas tidak terganggu dengan status lawan selaku juara bertahan Liga Premier Futsal Malaysia (MFPL) musim ini.
Ketika dihubungi wakil Vocket FC, Faris melihat skuad kendaliannya itu pada kini berada di tahap terbaik bagi memberikan segalanya pada perlawanan nanti dalam usaha untuk melakar kejutan.
“Secara keseluruhannya persiapan kami berjalan dengan cukup rapi dan bersistematik. Sedar kami akan berhadapan dengan pasukan berkualiti tinggi, kita perlu menyesuaikan sesi latihan dengan permainan berintensiti tinggi.”
“Memang bukan mudah untuk berhadapan dengan pasukan pilihan seperti Selangor MAC, malah para pemain juga begitu memahami peranan besar yang perlu dimainkan oleh setiap daripada mereka.”
“Mereka dilihat semakin jelas dengan peranan masing-masing serta sudah memahami taktikal serta taktikal yang saya cuba untuk terapkan pada perlawanan nanti,” ujar pengendali kelahiran Manjung, Perak itu.
“Kita juga sudah mengenalpasti beberapa kesilapan yang berlaku ketika perlawanan pertama tempoh hari dimana ianya berkesudahan dengan seri 6-6.”
“Dalam pada itu, saya juga melihat mood para pemain kini berada di tahap terbaik. Mereka memberikan 100 peratus komitmen setiap kali sesi latihan. Mereka saling bantu membantu dan berkongsi pendapat tentang persediaan menghadapi Selangor MAC nanti.”
“Saya juga tidak mahu para pemain berada dalam tekanan dan ingin mereka menikmati aksi tersebut. Apa yang lebih penting adalah mereka berada di tahap disiplin yang tinggi dan memberikan kerjasama terbaik antara satu sama lain ketika di dalam gelanggang.”
Sudah menjadi lumrah setiap pasukan mahu beraksi di final serta menjulang piala, Faris juga mengimpikan perkara yang sama dimana ini merupakan pengalaman pertamanya dalam mengemudi pasukan dalam kancah tertinggi futsal negara.
“Kita sudah pastinya berharap untuk lakukan kejutan sekali gus layak ke final. Tambahan pula kami berada dalam prestasi baik ketika berjaya mengikat mereka pada aksi pertama minggu lalu.”
“Jadi, tiada yang mustahil untuk kami jelmakan kejutan pada perlawanan kedua ini. Oleh itu, saya berharap para pemain dapat fokus untuk pertemuan Ahad nanti serta tidak berada dalam keadaan gemuruh supaya dapat memberikan saingan hebat buat Selangor MAC,” tambah Faris Sidek lagi.