Gergasi futsal tanah air, Selangor MAC memulakan kempen Piala Futsal AFF 2022 dengan penuh bergaya selepas menundukkan wakil Timor Leste, Ramelau FC 6-0 pada aksi yang berlangsung di Terminal 21, Nakhon Ratchasima sebentar tadi.
Malah, Selangor sudah pun melayakkan diri ke separuh akhir kerana hanya tiga pasukan sahaja yang berada dalam kumpulan B dimana Ramelau turut mengalami kekalahan pada aksi semalam.
Kemenangan itu meletakkan Selangor MAC di tangga teratas selepas memiliki kelebihan defisit jaringan berbanding Sahako FC dari Vietnam.
Piala Futsal Malaysia: Dominasi Berterusan Selangor MAC, Pahang Rangers Hampa Lagi
Skuad kendalian ‘Beto’ Carlos Alberto Aranha De Siquera Lima itu tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila ketua pasukan, Muhammad Fariq Mohammad berjaya membolosi gawang Ramelau FC seawal minit ketiga.
Berpunca daripada kawalan baik pemain import, Matheus Vasconcelos yang kemudiannya melakukan lorongan baik membolehkan Fariq untuk mudah menolak masuk bola bagi memberikan kelebihan buat Selangor.
Memiliki barisan pemain yang berkualiti menyaksikan terdapat jurang melibatkan kedua-dua pasukan dengan Selangor mendominasi sebahagian besar permainan.
Jaringan kedua Selangor MAC terhasil pada minit ke-15 apabila pemain muda, Syahir Iqbal Akbar Khan bijak menyambar hantaran Saad Sani untuk menewaskan penjaga gol lawan, Domingos Dos Santos Gama.
Selangor yang mendapat tempat ketiga pada edisi 2021 menambah dua jaringan pantas sebelum aksi babak pertama ditamatkan menerusi sepakan penalti kedua (Second Spot) oleh Matheus.
Dua lagi jaringan terhasil pada separuh masa kedua menerusi Khairul Effendy Mohd Bahrin dan Mohamad Danial Abd Dain untuk mengesahkan kemenangan 6-0 buat Selangor MAC sebagai tonik berguna sebelum bertemu Sahako FC pada aksi kedua mereka di Piala Futsal AFF 2022, esok.