Ketua jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe mengakui tugas sukar sedang menanti anak buahnya apabila dijadualkan menentang Sri Pahang untuk aksi pusingan kedua Piala FA malam ini.

Baca Juga:

Apatah lagi, tok gajah setakat ini masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Super selepas mengharungi 8 perlawanan.

Justeru, bekas pengendali skuad kebangsaan itu menuntut pemain Gergasi Merah menggunakan kelebihan beraksi di halaman sendiri untuk menyingkirkan Sri Pahang daripada saingan Piala FA sekaligus menghadiahkan kekalahan pertama tok gajah musim ini.

“Sebagai jurulatih, setakat ini kita nampak keputusan perlawanan memihak kepada Sri Pahang, mereka belum kalah lagi dalam liga dan berdepan kami tempoh hari dalam aksi liga pun berakhir dengan keputusan seri.

“Kita nampak mereka ada kekuatan tersendiri dan seperti semua tahu perlawanan Piala FA adalah perlawanan kalah mati, jadi kami perlu turun dengan fokus pada setiap minit perlawanan.

“Pada masa sama kami perlu ambil peluang bermain di tempat sendiri untuk pastikan kami berjaya layak ke pusingan yang seterusnya,” katanya dalam Berita Harian.

Namun begitu, Cheng Hoe tidak mahu anak buahnya memandang mudah terhadap cabaran Sri Pahang walaupun memiliki rekod yang baik di halaman sendiri.

“Apa yang penting persiapan pasukan dari segi latihan dan dalam bola sepak tiada jaminan bermain tempat sendiri 100 boleh menang, ada juga perlawanan kita boleh menang di tempat lawan. Kita kena sesuaikan diri dengan situasi juga,” katanya.

Pemenang aksi antara Selangor dan Sri Pahang akan berdepan pemenang antara Negeri Sembilan dan pasukan Liga M3, PIB Shah Alam FC di pusingan suku akhir.

Berdasarkan format pertandingan Liga M, slot kedua Piala AFC akan diberikan kepada juara Piala FA musim ini.